SHAH ALAM – Siasatan terperinci masih dijalankan berhubung dakwaan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil berucap di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang dekat sini, Ahad lalu.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, sebarang kewajaran untuk pertuduhan akan ditentukan oleh Ketua Pendakwa Syarie Selangor.
“Untuk makluman, siasatan terhadap kesalahan disyaki menghina pihak berkuasa agama terhadap Menteri KKD sedang berjalan.
“Semua siasatan oleh JAIS akan dibuat dengan teliti dan mengikut undang-undang. Kewajaran untuk dituduh atas akan ditentukan oleh Ketua Pendakwa Syarie Negeri Selangor,” katanya ringkas ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan JAIS mengesahkan menerima aduan Fahmi berucap di sebuah masjid di Rawang dengan memanggil nazir masjid berkenaan bagi mendapatkan keterangan dan tindakan selanjutnya akan dibuat setelah siasatan mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, selesai dilakukan.
Semalam, polis Selangor mengesahkan tiada unsur kempen politik berhubung ucapan Fahmi tersebut.
Sehubungan itu, Fahmi kemudiannya telah memberikan tempoh 24 jam kepada dua individu bagi permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik tuduhan tersebut atau berdepan tindakan saman dengan notis tuntutan telah dihantar peguamnya kepada penceramah bebas Ahmad Dusuki Abdul Rani dan pentadbir Laman Facebook ‘N13 Kuang’. -KOSMO! ONLINE