JOHOR BAHRU – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor masih mengesan punca sebenar pencemaran bau kimia yang menyebabkan 24 murid, dua guru dan dua pembantu kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini mengalami pening kepala dan muntah-muntah.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, pengesanan bacaan ‘methyl mercaptan’ yang dikesan di lokasi berhampiran tidak boleh dikategorikan sebagai punca sebenar.
Katanya, hasil tinjauan yang dilakukan oleh pegawai penyiasat JAS Johor masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar pencemaran bau itu berlaku.
“Selagi JAS tak dapat kenal pasti punca dari mana bau itu datang, kita tak boleh membuat konklusi bacaan ‘methyl mercaptan’ itu adalah punca sebenar, kerana bacaan dibuat selepas kejadian itu berlaku.
“Boleh jadi bacaan sudah lama berada di situ. Jika kita ambil bacaan di Pasir Gudang ketika ini, kita pun akan boleh dapat keputusan yang sama tapi tak berlaku pencemaran di sana,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Selasa lalu, seramai 24 orang murid, dua guru dan dua pekerja kantin di SK Sungai Tiram itu mengalami muntah-muntah akibat terhidu bau busuk. – KOSMO! ONLINE