ALOR SETAR – Penduduk hanya mampu melaungkan azan apabila melihat puting beliung menerbangkan bumbung rumah di Taman Perumahan Awam Kuala Sala dan beberapa kampung, di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 3.50 pagi itu, sebanyak 20 rumah di taman itu rosak dibadai ribut. Turut terjejas lapan rumah di Kampung Permatang Bongor, Kampung Kuala Sala, Kampung Jawa dan Kampung Buloh.
Seorang penduduk, Multazam Yaacob, 60, berkata, ketika kejadian, dia, isteri, anak lelaki, menantu dan dua cucu sedang tidur.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi deruan angin yang sangat kuat menghampiri rumah dan bergegas bangun untuk melihat apa yang berlaku.
“Sebaik keluar dari bilik, saya tergamam melihat bumbung ruang tamu dan bilik diterbangkan angin,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, disebabkan terlalu terkejut, dia tidak bergerak dari tempatnya berdiri sehingga mendengar laungan azan daripada isterinya dari dalam bilik utama mereka.
“Saya terlupa kejutkan ahli keluarga lain dan tidak sempat mengalihkan barangan rumah menyebabkan sebahagian besar perabot rosak,” ujarnya.
Peniaga, Noraini Md. Zain, 60, berkata, ketika kejadian, dia bersama anak, Mohd. Ashraf Mohd Sukri, 29, tidur di dalam kedai makan milik mereka di hadapan taman perumahan awam berkenaan.
“Anak kejutkan saya apabila dia terdengar bunyi seakan-akan pokok patah di sekeliling premis kedai kami.
“Sebaik membuka pintu kedai untuk meninjau apa yang berlaku, atap kedai kami termasuk bumbung tambahan di hadapan premis tercabut diterbangkan angin,” katanya yang turut melaungkan azan bersama anaknya semasa kejadian.
Sementara itu, Penghulu Mukim Sala Kecil, Aminuddin Ahmad, 49, berkata, kejadian ribut disertai hujan lebat itu turut menyebabkan pejabatnya di taman perumahan berkenaan rosak apabila bumbung diterbangkan angin.
“Kejadian ribut ini merupakan kali kedua berlaku dalam tahun ini dan lebih teruk kesan kerosakannya berbanding sebelum ini,” katanya.