fbpx

Faizal hero Speedy Tigers benam Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAIZAL mencipta tiga umpanan gol dalam kemenangan 3-1 Malaysia ke atas Pakistan pada aksi ACT 2023 di Stadium Mayor Radhakrishnan sebentar tadi. - FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Penyerang skuad hoki negara, Faizal Saari muncul wira apabila memainkan watak penting dalam kemenangan 3-1 ke atas Pakistan pada aksi Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 di Chennai, India sebentar tadi.

Faizal, 32, berjaya mencipta tiga umpanan gol buat rakan sepasukannya biarpun dia tidak mengukir nama sebagai salah seorang penjaring Malaysia dalam aksi di Stadium Mayor Radhakrishnan itu.

‘Mesin gol’ Speedy Tigers itu dilihat selesa dan menikmati peranan baharunya di bahagian tengah berbanding kebiasaannya selaku penyerang apabila larian-larian derasnya gagal dihalang benteng pertahanan Pakistan.

Ia terbukti apabila Faizal berjaya mencetak dua umpanan gol menerusi kualiti hantaran yang baik memudahkan Muhammad Firhan Ashari meledak dua gol dalam tempoh seminit pada minit ke-28 dan 29.

FIRHAN dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas meledak dua gol hasil dua umpanan Faizal sebentar tadi. – AHF

Tidak lama kemudian, Faizal sekali lagi membuktikan kemahiran tinggi membawa bola bersama kayu untuk mencipta ruang kosong buat Shello Silverius meledak gol ketiga skuad negara pada minit ke-44.

Hasrat para pemain untuk menamatkan aksi tanpa bolos tidak kesampaian walaupun penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman berjaya menyelamatkan penalti stroke daripada Pakistan pada suku masa keempat.

Ia disebabkan penyerang Pakistan, Abdul Rehman tidak dikawal dan menjaringkan gol tunggal lawan itu ketika saingan berbaki lima minit lagi sebelum tamat.

Kemenangan itu amat bermakna buat skuad bimbingan A. Arul Selvaraj untuk membuka kempen dengan langkah kanan sebelum turun perlawanan kedua menentang China malam esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI