SUNGAI PETANI – Dua remaja lelaki termasuk seorang daripadanya masih di bawah umur direman empat hari bermula hari ini kerana disyaki memecah masuk dan mencuri wang Masjid Ar-Rahmah di Guar Chempedak, Yan, di sini Ahad lalu.
Perintah tahanan reman ke atas dua suspek berusia 15 dan 19 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret, Noor Fazlina Musa di Mahkamah Majistret di sini hari ini dengan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, mereka ditahan di Kampung Kabu 10, Jalan Sungai Limau Dalam di Yan kira-kira pukul 6.30 petang, semalam.
“Sebaik ditahan, kedua-dua suspek mengaku memecah masuk dan mencuri wang berjumlah RM2,000 milik masjid serta melakukan perbuatan sama di sebuah lagi masjid di daerah itu sebelumnya.
“Pemeriksaan lanjut ke atas remaja berusia 19 tahun menemui dua peket plastik lut sinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu di dalam seluarnya serta sebuah telefon bimbit milik masjid yang turut dilaporkan hilang,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE