CINCINNATI – Pemain No. 2 dunia, Novak Djokovic membuat kejutan bersaing bagi acara beregu lelaki pada kejohanan bertaraf Masters, Terbuka Cincinnati pada 13 Ogos sebagai salah satu persiapan sebelum mengharungi Terbuka Amerika Syarikat (AS) penghujung bulan ini.
Sebagai rekod, Djokovic tidak beraksi pada mana-mana kejohanan kompetitif sejak tewas pada final Kejuaraan Wimbledon bulan lepas selain terpaksa menarik diri daripada saingan Terbuka Kanada kerana mahu berehat.
Namun, Djokovic mengambil keputusan untuk tidak hanya bersaing pada acara perseorangan, malah pemain kelahiran Serbia itu juga mahu bersaing pada acara beregu lelaki bersama rakan senegara, Nikola Cacic.
Difahamkan, pemain berusia 36 tahun itu membuat keputusan tersebut sebagai satu persiapan untuk mengharungi kejohanan Piala Davis pada September ini dan temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis tahun depan.
Kata Djokovic, saingan Piala Davis dan Sukan Olimpik cukup penting dalam kariernya kerana ia adalah penghormatan terbesar apabila turun ke gelanggang untuk mewakili negara kelahirannya.
“Jika saya kekal sihat dan bebas daripada kecederaan, saya akan turun beraksi pada Piala Davis untuk dan jaminan sudah diberikan kepada kapten kami, Viktor Troiciki meskipun ia berlangsung sejurus selepas Terbuka AS.
“Kemudian, sudah pasti harapan saya adalah untuk bermain pada temasya Sukan Olimpik 2024 kerana ia cukup penting selepas bakal dilangsungkan di Roland Garros. Saya harap dapat meraih keputusan lebih positif di sana nanti,” katanya. – AGENSI