SEREMBAN – Seorang bayi berusia tujuh bulan memerlukan alat bantuan pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) berharga RM7,600 bagi meneruskan hidup ekoran masalah jantung bengkak.
Muhammad Adam Amirul mengalami masalah jantung berlubang sejak berusia dua bulan dan jantung bengkak selepas menjalani pembedahan di Hospital Serdang pada awal tahun ini.
Ibunya, Paukiah Azis, 18, berkata, dia tidak mampu menyediakan wang membeli alat tersebut kerana tidak bekerja.
Katanya, permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada beberapa pihak tidak berjaya.
“Anak saya bergantung 24 jam dengan alat ini. Buat masa ini saya meminjam mesin itu dari hospital dan perlu memulangkan semula bulan depan.
“Setakat ini, saya dapat mengumpul RM2,200 hasil sumbangan orang ramai. Saya masih memerlukan RM5,400.
“Saya buntu untuk mencari wang sebanyak itu sekarang. Saya tidak dapat bekerja kerana anak memerlukan penjagaan rapi sepanjang masa,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Paukiah, dia juga perlu membeli penapis udara CPAP yang ditukar setiap bulan berharga RM40.
Muhammad Adam kini masih menjalani rawatan berkala di Hospital Serdang dan memerlukan penjagaan rapi untuk mengelakkan daripada berlaku jangkitan kuman pada paru-parunya.
Orang ramai yang mahu meringankan beban dua beranak ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun AmBank bernombor 1810020021409 atas nama Jumiya Sapari atau menghubunginya di talian 017-2539481.