RIYADH – Gergasi Arab Saudi, Al-Nassr mengumumkan kehadiran bintang Bayern Munich, Sadio Mane dengan yuran perpindahan bernilai £35 juta (RM202.65 juta).
Ia merupakan pembelian keempat Al-Nassr dalam jendela perpindahan ketika ini selepas membawa masuk Marcelo Brozovic daripada Inter Milan, Alex Telles (Manchester United) dan Seko Fofana (RC Lens).
Kehadiran bekas penggempur Liverpool itu bakal menyaksikan duo serangan berbisa daripada Al-Nassr membentuk gandingan bersama Cristiano Ronaldo dalam misi merampas kejuaraan Liga Profesional Arab Saudi.
Bagaimanapun, Mane, 31, mengakui terkilan kerana terpaksa meninggalkan Bayern yang baru disertainya musim lalu daripada Liverpool dengan harga £35 juta (RM202.65 juta).
“Ia menyakitkan apabila terpaksa meninggalkan Bayern kerana saya sebenarnya mengharapkan pengakhiran yang berbeza. Saya yakin saya boleh membantu Bayern memenangi sesuatu musim ini.
“Saya mahu buktikan kepada semua tetapi perpindahan ini sudah berlaku dan saya hanya boleh mengharapkan yang terbaik buat Bayern,” kata Mane.
Kapten Senegal itu gagal menghadirkan impak seperti diharapkan bersama The Bavarians apabila sekadar meledak tujuh gol daripada 25 perlawanan Bundesliga musim lalu.
Lebih malang, Mane turut terpalit dengan kontroversi panas apabila digantung Bayern sebelum ini kerana menumbuk rakan sepasukannya, Leroy Sane dalam bilik persalinan selepas tewas 0-3 kepada Manchester City pada April lalu. – AGENSI