Apakah hukum merenjis/bilas kenderaan dengan tujuan untuk mengelak musibah seperti kemalangan, kecurian, kerosakan dan sebagainya? Apakah hukum menyiram/merenjis kenderaan kerana mengesyaki kenderaan yang digunakan terkena ain?
JAWAPAN: Merenjis air jampi pada kenderaan boleh diumpamakan dengan upacara tepung tawar atau merenjis ketika pernikahan. Amalan dan petua ini bertujuan untuk menjauhkan sebarang musibah. Perkara ini masih banyak diamalkan dalam masyarakat melayu dan dianggap petua dan amalan nenek moyang.
Bagi menentukan hukum perbuatan itu, maka ia perlu diperhalusi dari pelbagai sudut. Hukumnya perlu dibahagikan kepada dua keadaan.
Pertama, jika acara itu bertujuan meniru budaya golongan bukan Islam maka perbuatan merenjis diharamkan kerana ia punca kepada membudayakan budaya orang kafir dalam amalan seharian. Daripada Ibn Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” [Riwayat Abu Daud (4031), Ahmad (5114) (5115) (5667), Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (19401), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (8327), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1154) dan al-Bazzar dalam Musnadnya (2966)]
Ibn Abd al-Bar menyebut: Ditafsirkan siapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia daripada kalangan mereka atau dihukumkan bersama mereka atau siapa yang bertasyabbuh pada perbuatan mereka, keadaan mereka dan ini secara umumnya dimaksudkan dengan mengikut (meniru perbuatan mereka). [Lihat: Al-Tamhid, Jld.6, Hlm.80]
Menurut Prof. Yusof Qaraḍāwī di dalam bukunya Fatwa Mu’asirah, Halal dan Haram dalam Islam dengan menyebut bahawa, “Niat yang baik tidak akan menghalalkan yang haram”.
Oleh yang demikian setiap tindakan yang hendak dilakukan hendaklah dipastikan terlebih dahulu mempunyai unsur-unsur yang dibenarkan oleh syariat Islam dan tidak mempunyai unsur syirik kepada Allah SWT.
Kedua, jika acara merenjis atau menjirus air ke kenderaan dilakukan bagi memenuhi upacara pemujaan dan kepercayaan terhadap mitos bahawa amalan itu akan menghindarkan seseorang daripada segala malang seperti kemalangan atau kerosakan ia juga diharamkan kerana perbuatan dan iktikad tersebut mempunyai unsur kesyirikan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT: Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.(Surah Ar-Ra’d ayat 11)
Kewajipan seorang hamba kepada Allah adalah meminta dan memohon hanya kepada Allah SWT dan bukan selain daripada-Nya. Cara memohonnya juga hendaklah bertepatan dengan sunnah yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW. Dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman: “Wahai hamba-Ku, kalian semua kelaparan, kecuali orang yang aku berikan makan. Maka mintalah makan kepadaku, nescaya aku akan berikan. Wahai hamba-Ku, kalian semua tidak berpakaian, kecuali yang aku berikan pakaian, Maka mintalah pakaian kepada-Ku, nescaya akan aku berikan”
(Hadis riwayat Muslim no. 2577).
Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang mengangankan sesuatu (kepada Allah), maka perbanyakanlah angan-angan tersebut, kerana dia sedang meminta kepada Allah SWT” (Hadis riwayat Ibnu Hibban no. 889).
Aisyah RAH juga mengatakan: “Mintalah kepada Allah bahkan meminta tali sandel sekalipun”
(Hadis riwayat al-Baihaqi dalam Syu’abul Iman 2/42).
Ibnu Rajab RA mengatakan:“Dahulu para salaf meminta kepada Allah dalam solatnya, semua keperluannya sehinggakan garam untuk adunannya dan tali kekang untuk kambingnya” (Jami’ Al Ulum wal Hikam, Jld.1, Hlm.225).
Kesimpulannya, cara permohonan yang terbaik ialah dengan solat dan berdoa kepada Allah SWT. Apabila membeli kenderaan baharu, rumah baharu atau mendapat sebarang bentuk nikmat maka bersolatlah dan berdoa kepada Allah SWT, mohon supaya diberi keselamatan dan kesejahteraan dengan anugerah nikmat daripada Allah SWT itu. Perbuatan sebegitulah yang menjadi sunnah dan amalan para salaf al-Salih yang patut kita contohi. Bukannya amalan yang diwarisi daripada golongan yang melakukan kesyirikan kepada Allah SWT. Justeru perbuatan merenjis air jampi atau tepung tawar kepada kenderaan atau apa-apa objek adalah suatu perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah dan mirip kepada ajaran agama Hindu yang ada unsur pemujaan dan kesyirikan. Maka perbuatan tersebut adalah dilarang dan ia boleh menjadi haram apabila wujudnya unsur membudayakan budaya orang kafir dalam amalan seharian serta tidak patut dipraktikkan dalam masyarakat kita.
Mengenai penyakit atau perbuatan yang diistilahkan “‘ain” adalah thabit di dalam nas-nas syarak. Allah SWT berfirman:
Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan pandangan mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian) (Surah al-Qalam: 51)
Di dalam ayat ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa sasaran dan pengaruh “mata” benar-benar nyata dan berlakunya itu atas kehendak Allah SWT sebagai ujian kepada para hambaNya. Hal ini disebutkan dalam beberapa hadis yang diriwayatkan dari pelbagai jalan yang banyak. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Jld.8, Hlm. 260)
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: “Al-‘ain itu adalah haq (benar).”
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, Nabi SAW bersabda:“Al-‘Ain itu haq (benar). Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar maka ‘ain lah (yang dapat menjaungkauinya). Jika diminta kepada kamu untuk mandi (untuk penyembuhan), maka mandilah.”(Riwayat Muslim: 5831)
Imam al-Nawawi berkata: “Pada hadis ini terdapat ithbat keimanan pada takdir Allah SWT dan benarnya perkara ‘ain (penyakit ‘ain) dan bahawa ia sangat berbahaya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, Jld.7, Hlm.328)
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani pula berkata: “Maknanya ialah orang yang ditimpa bahaya kerana sesuatu yang telah Allah SWT tetapkan ketika seseorang memandangnya, hakikatnya terjadi dengan takdir Allah SWT yang telah ditetapkan sebelumnya, bukan sesuatu yang baru sahaja diciptakan oleh orang yang memandang terhadap yang dipandang.”
Penyakit ‘ain ialah penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang. Ia boleh terjadi sama ada dari orang yang dengki atau orang yang dicintai, dari orang yang jahat atau orang yang soleh.
Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: “‘Ain adalah pandangan hasad daripada tabiat yang buruk yang boleh menyebabkan mudarat pada orang yang dipandangnya.”
Beliau turut berkata: “‘Ain boleh terjadi dengan rasa takjub walaupun tanpa ada sifat iri dan hasad, (boleh juga terjadi) walaupun daripada orang yang mencintai dan (walau) daripada seorang yang soleh (tanpa disengajakan).” (Lihat Fath al-Bari, Jld.10, Hlm. 203-205)
Rawatan Penyakit ‘Ain
Sekiranya seseorang terkena penyakit ‘ain, berubatlah dengan rawatan secara syar’ie, iaitu:
a) Dibacakan Ruqyah Atau Doa
Daripada Buraidah bin al-Husyaib RA, Rasulullah SAW bersabda:“Tidak ada ruqyah (yang lebih bermanfaat), kecuali untuk penyakit ‘ain, atau penyakit yang diakibatkan sengatan binatang berbisa..”(Riwayat al-Bukhari, 5705 dan Muslim, 220)
b) Dimandikan Dengan Air
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Umamah bin Sahl bin Hunaif, beliau berkata: Amir bin Rabi’ah melewati Sahl bin Hunaif ketika dia sedang mandi, lalu Amir berkata: “Aku tidak melihat seperti hari ini, kulit yang lebih mirip (keindahannya) dengan kulit wanita yang dipingit.” Tidak berapa lama kemudian Sahl terjatuh, lantas beliau dibawa kepada Nabi SAW, lalu dikatakan: “Selamatkanlah Sahl yang sedang terbaring sakit.” Baginda SAW bersabda: “Siapa yang kamu curigai telah menyebabkan ini?” Mereka berkata: “Amir bin Rabi’ah.” Baginda g bersabda:
“Kenapakah salah seorang daripada kamu membunuh saudaranya? Seharusnya apabila salah seorang daripada kamu melihat sesuatu pada diri saudaranya yang menakjubkan, hendaklah dia mendoakan keberkatan untuknya.”
Kemudian Baginda SAW meminta air, lalu menyuruh Amir untuk berwuduk. Amir mencuci wajahnya, kedua tangannya sampai ke siku, dua lututnya dan bahagian dalam kainnya. Nabi SAW memerintahkannya untuk menyiramkan (bekas air wuduknya) kepada Sahl. Sufyan menyebut, Ma’mar berkata, daripada al-Zuhri: “Baginda SAW memerintahkannya untuk menyiramkan air dari arah belakangnya.”(Riwayat Ibn Majah, 2828 dan al-Nasa’ie, 10036)
Ibn al-Qayyim RA berkata: “Cara pengubatan ini tidak akan dapat mengambil manfaatnya bagi orang yang mengingkarinya, orang yang mempersenda-sendakannya, orang yang meragukannya atau yang melakukannya sekadar cuba-cuba tanpa meyakini.” (Lihat Fath al-Bari, Jld. 10, Hlm. 205)
Berusaha berlindung daripada penyakit ‘ain adalah dibolehkan serta ia tidak menafikan konsep tawakal. Ini kerana tawakal adalah bergantung kepada Allah SWT disertai dengan melakukan asbab perkara yang diharuskan atau diperintahkan dengannya. Kaedah penyembuhan yang digunakan oleh Rasulullah SAW dengan air secara berwuduk dan disiram ke atas badan pesakit menjadi sandaran tentang keharusan menggunakan air yang telah diruqiyahkan (dijampi) dengan ayat-ayat al-Quran. Namun begitu kaedah ini hanya dikhususkan kepada pengubatan untuk memulihkan pesakit (memberi kesegaran) dan kawasan yang terkena ‘ain sebagai ikhtiar penyembuhan. Kaedah ini perlu diperhalusi dan tidak boleh sewenang-wenangnya dilakukan sehingga diangkat menjadi tepung tawar dan digunakan dalam semua keadaan.
Berlindung kepada Allah SWT merupakan pencegahan terbaik daripada terkena penyakit ‘ain malah daripada segala mara bahaya. Nabi SAW memperlindungkan al-Hasan dan al-Husin L seperti mana dalam hadis Ibn Abbas RA, Baginda SAW bersabda: “Aku memperlindungkan kamu berdua dengan kalimat-kalimat Allah yang maha sempurna daripada syaitan, binatang berbisa dan mata yang dengki.”(Riwayat al-Nasa’ie. 7679, Abu Daud. 4737, Ibn Majah. 3525, dan al-Tirmizi. 2060)
Kesimpulannya, hukum menyiram atau merenjis kereta kerana disyaki kenderaan yang digunakan terkena ‘ain adalah harus sebagai ikhtiar dengan syarat tidak berlebih-lebihan, seumpama diadakan upacara khusus menepung tawar disertai dengan kenduri-kendara, bertahlil dan sebagainya. Sebaliknya yang afdal adalah disarankan untuk mengamalkan doa menaiki kenderaan secara istiqamah untuk menghilangkan sebarang bentuk gangguan, jin dan manusia serta memohon dijauhi segala musibah.