VENICE, ITALI – Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menyarankan agar bandar Venice di Itali disenaraikan sebagai tapak warisan dunia yang terancam, lapor Badan Penyiaran Britain (PBB) kelmarin.
Menurut laporan dikeluarkan agensi tersebut, lokasi yang menjadi tarikan pelancong seluruh dunia itu mengalami ‘kerosakan yang tidak dapat dipulihkan’ akibat aktiviti tersebut, pembangunan berlebihan dan peningkatan paras air laut ekoran perubahan iklim.
Ujarnya, cadangan itu bertujuan untuk menggalakkan pemeliharaan tapak tersebut untuk masa depan sambil menambah, perkara tersebut akan dibincangkan dengan kerajaan Itali.
Laporan UNESCO menyalahkan kerajaan Itali kerana kekurangan visi strategik bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh salah satu daripada bandar paling indah di negara itu.
Pelan memasukkan Venice sebagai senarai tapak warisan terancam telah pun dicadangkan oleh UNESCO dua tahun lalu, namun ia dibatalkan saat akhir berikutan beberapa langkah kecemasan yang diambil oleh kerajaan Itali.
Bandar Venice, yang dikelilingi oleh air amat terdedah kepada kejadian banjir.
Meskipun begitu, kira-kira 28 juta pelancong melawat lokasi itu setiap tahun sekali gus membawa kepada pembangunan projek-projek bandar yang akhirnya menyebabkan kerosakan kepada bandar tersebut, demikian menurut UNESCO.
Agensi PBB itu setakat ini menyenaraikan 55 tapak warisan dunia sebagai terancam di samping 204 lokasi yang sedang dipantau berikutan pelbagai ancaman yang dialami. – Agensi