CHENGDU, China – Persiapan jaguh 400 meter (m) negara, Umar Osman ke Sukan Asia Hangzhou, China kini berada di landasan terbaik sejurus mencetus kejutan mencatat rekod baharu kebangsaan pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) Chengdu, China semalam.
Atlet kelahiran Johor itu mencatat masa 46.33 saat (s), 0.01s lebih pantas daripada catatannya ketika memenangi pingat emas pada Sukan SEA Kemboja Mei lalu.
Kejayaan merakam rekod baharu kebangsaan di bumi China itu membolehkannya menamatkan pusingan saringan pertama di kedudukan kedua, sekali gus membolehkan Umar layak beraksi dalam saingan peringkat separuh akhir hari ini.
“Saya harap dapat mengekalkan catatan masa saya pada separuh akhir nanti dan cuba perbaiki lagi untuk cuba memecahkan rekod kebangsaan lagi dan layak ke final,” kata Umar.
Pada aksi saringan, Umar menduduki tempat kedua di belakang Reece Nathaniel Holder dari Australia yang mencatat masa 46.10s.
Bagaimanapun, Umar dijangka berdepan saingan sengit hari ini kerana terdapat sekurang-kurangnya empat pelari yang mencatat kepantasan di bawah 46s.
Dalam pada itu, sandaran Malaysia pada beberapa atlet olahraga lain pada aksi sebelah pagi malangnya tidak kesampaian apabila kesemua mereka tersekat di peringkat saringan. Chelsea Cassopea menduduki tempat ke tujuh saringan 400m meter wanita dengan masa 57.05s.
Pelari pecut Mohammad Thaqif Hisham dan Muhammad Zulfiqar Roslan juga terkandas di saringan 100m, sementara Nurul Ashikin Abas pula tersekat di pusingan kelayakan pada acara lompat jauh wanita dengan catatan 5.84m meter.