PELAKON Luna Maya mendedahkan pernah diminta mengubah wajahnya agar kelihatan lebih muda dan sesuai dengan karakter filem yang ditawarkan kepadanya.
Pelakon berusia 39 tahun itu juga mengakui gara-gara sudah berusia, dia juga sering hilang tawaran berlakon dan posisinya diganti dengan pelakon lebih muda.
“Perkara itu terjadi mungkin tidak secara langsung. Mereka tidak beritahu secara jelas punca tawaran saya dibatalkan kerana saya tua.
“Tapi mereka (pengarah) ada minta saya ‘naikkan’ wajah dan segalanya agar nampak muda,” ujarnya.
Dalam pada itu, Luna mendedahkan persaingan antara pelakon muda dan senior adalah perkara biasa dalam industri hiburan dan dia menerimanya dengan berlapang dada.
“Persaingan itu biasa sangat, tiba-tiba watak kita diberi kepada orang lain yang lebih muda.
“Ya kita terima sahaja, hal-hal ini bukan saya sahaja tapi pelakon-pelakon lain juga ada melaluinya,” ujarnya.