PETALING JAYA – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dijangkiti Influenza dan dinasihatkan oleh pegawai kesihatan untuk berehat selama tiga hari.
Melalui satu pemakluman di akaun Instagram beliau sebentar tadi, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, doktor telah menasihatinya untuk tidak keluar dalam tempoh tersebut kerana bimbang menjangkiti orang lain.
“Kepada semua pengundi-pengundi dan jentera-jentera parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dan Parlimen Rembau, maaf tidak dapat bersama dalam tiga hari ini.
“Batuk dan demam Influenza, doktor arah untuk berehat di rumah. Kepada semua pengundi dan jentera Kerajaan Perpaduan di enam negeri juga teruskan usaha. Saya ‘down’ demam teruk,” jelas beliau.
Menteri Pertahanan itu merupakan calon Barisan Nasional (BN) di DUN Rantau menentang seteru daripada Perikatan Nasional (PN) iaitu Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rozmal Malakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Mohamad adalah penyandang ADUN tersebut setelah menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau sebelum ini selain memegang jawatan Ahli Parlimen Rembau.- KOSMO! ONLINE