GELOMBANG kemasukan penghibur dari luar negara tampak ketara selepas pandemik Covid-19 berakhir.
Dalam tempoh dua tahun ini, arena hiburan kembali rancak dengan pelbagai acara seperti penganjuran konsert dan festival mega membabitkan persembahan artis dalam dan luar negara.
Dari sudut ekonomi, kemasukan artis luar dapat menjana pendapatan negara menerusi sektor pelancongan, manakala impak sosial pula menyuntik inspirasi untuk artis tempatan selain memberi peluang kepada peminat memilih hiburan luar.
Namun, sama ada kehadiran penghibur antarabangsa ini membawa nilai moral negatif, perkara itu terserah kepada ketegasan penganjur dan agensi berkaitan dalam memastikan kod etika serta garis panduan diikuti.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berkata, insiden meloyakan di Festival Good Vibes di Sepang, Selangor baru-baru ini diharap diharap dapat membuka mata ramai pihak dengan meletakkan anggota penguat kuasa di atas pentas.
“Kelakuan biadab The 1975 sudah berlaku, tetapi itu yang kita harus jadikan pengajaran dalam menguatkuasakan undang-undang melalui ketegasan.
“Jangan terlalu berlembut dengan orang luar yang menghina undang-undang negara. Apabila penguat kuasa berada di pentas, sudah tentu mereka lebih berpada-pada, bukan mahu menakutkan, sebaliknya tiada kompromi terhadap artis yang berdegil,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Zed, ketegasan yang ditunjukkan dengan kehadiran pasukan keselamatan itu dapat mengawal situasi luar jangka yang berlaku di atas pentas.
“Kadangkala kita terleka apabila satu-satu isu itu sudah reda, jadi ketegasan itu perlu dimulakan dari sekarang.
“Kita tidak mahu ada The 1975 nombor dua dan seterusnya, mengata kita barbarian atau orang gasar, sedangkan mereka sendiri seperti tidak bertamadun.
“Semua ini perlu dihentikan. Tidak salah berhibur, tetapi jika sampai menghina negara orang dan melampau batas, bersedialah untuk terus diheret ke muka pengadilan,” katanya lagi.
Pada masa sama, Zed turut mengingatkan pihak penganjur agar jangan mengambil mudah mengenai latar belakang seseorang penyanyi yang ingin dibawa masuk ke negara ini.
Tambah Zed, jika sudah mempunyai sejarah lampau atau pernah mencetuskan kontroversi atas tindakan mereka di atas pentas, sepatutnya pihak penganjur sudah ditapis atau terus disenarai hitam.
“Jangan abaikan tanda-tanda redflag seperti itu. Kita boleh elakkan perkara liar daripada terjadi, tetapi kalau sejak saringan awal lagi kita ‘tutup mata’, jangan tanya kenapa kalau anda (penganjur) kena pikul tanggungjawab atas salah laku artis itu.
“Ini juga menjadi pengajaran kepada penyanyi lain agar berhati-hati ketika beraksi. Tak perlu ikut budaya rosak sampai buat perkara tidak senonoh termasuk meludah. Sekarang 2023, bukan woodstock,” katanya.