fbpx

K2

Teknologi AI bakal kuasai karya digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GABUNGAN AI dan kepakaran manusia mampu menghasilkan karya digital yang inovatif dan efektif. – Gambar hiasan

Penggunaan kecerdasan buatan (AI) menjadi perbualan hangat sejak kebelakangan ini.

Industri seni dan kreatif terutama dalam penghasilan karya seni digital juga tidak terkecuali terkesan akibat daripada perkembangan terkini teknologi berkenaan.

Algoritma canggih teknologi generatif AI membolehkan karya digital berkualiti tinggi dapat dihasilkan kurang daripada lima minit dengan beberapa baris ayat perintah dan klik butang sahaja.

Antara penggunaan menarik daripada teknologi generatif AI adalah reka bentuk media grafik digital.

Teknologi generatif AI juga mampu menghasilkan grafik digital yang berkualiti sehingga sukar dibezakan dengan karya asli dihasilkan manusia.

Penghasilan grafik sedemikian melalui teknologi AI telah menarik perhatian para pencipta karya digital, khususnya mereka yang bekerja dalam bidang grafik dan fotografi.

Ia mencetuskan perbahasan serta fenomena baharu pada era digital IR4.0 ini.

Antara isu yang menjadi perhatian, adakah teknologi generatif AI ini bakal menggantikan skop kerja tertentu sehingga mampu mengambil alih pekerjaan tertentu yang selama ini didominasi oleh individu?

Berdasarkan prinsip algoritma AI, ia boleh digunakan untuk membuat pelbagai ilustrasi, mengubah suai foto dan menghasilkan efek khusus yang menarik.

Besar kemungkinan kita dapat menyaksikan perubahan drastik dalam sektor pekerjaan.

Perubahan ini membolehkan mereka yang kurang mahir dalam reka bentuk grafik berupaya menghasilkan karya yang unik.

Perubahan sedemikian bakal memberikan kesan terhadap pereka bentuk grafik profesional sedia ada.

Dalam masa sama, para majikan mengambil peluang melalui teknologi berkenaan untuk mengurangkan kos tenaga kerja.

Majikan berpotensi menghasilkan hasil grafik yang mempunyai kualiti hampir sama melalui penggunaan teknologi AI dengan kos operasi lebih rendah.

Salah satu isu lain yang penting berkaitan hasil karya digital AI adalah berkenaan hak cipta karya dihasilkan.

Melalui teknologi berkenaan, mana-mana pihak berupaya untuk menyalahgunakan kepakaran AI untuk menghasilkan satu karya yang mirip kepada karya artis dikenali ramai.

Dalam kes artis Korea Selatan yang terkenal baru-baru ini, satu karya hasil daripada AI generatif terhasil selepas tiga hari kematiannya.

Hal ini menjadi isu kontroversi dalam kalangan peminat artis berkenaan.

Mereka merasakan bahawa berlaku eksploitasi integriti dalam industri seni di negara berkenaan.

Meneliti akan hal ini, dapat kita perhatikan sisi positif dan negatif teknologi generatif AI dalam kehidupan manusia.

Persoalannya, bagaimanakah kita boleh memberi interaksi antara kreativiti manusia dengan AI dalam proses penghasilan karya?

TEKNOLOGI AI memberi kebaikan dan keburukan kepada kehidupan manusia.
– Gambar hiasan

Apakah teknologi generatif AI ini akan menggantikan peranan dan sumbangan manusia dalam industri grafik digital?

Adakah ia merupakan alat yang akan membantu perluaskan lagi batas imaginasi kreatif manusia?

Meneliti akan hal ini, mari kita ambil sudut pandang yang positif dalam menerima anjakan paradigma baharu dalam teknologi.

Teknologi generatif AI boleh disifatkan sebagai satu alat yang boleh memudahkan tugasan pereka grafik.

Oleh yang demikian, ia terletak pada kebijaksanaan kita untuk memanfaatkan teknologi ini.

Teknologi generatif AI boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan inspirasi baharu, memberikan rekomendasi reka bentuk atau mempercepat proses produksi.

Pereka grafik masih memiliki peranan penting dalam memberikan visi dan menghasilkan konsep unik.

Mereka juga boleh memasukkan elemen kreatif untuk memperbaiki dan mengembangkan lagi hasil reka bentuk grafik.

Ini secara tidak langsung dapat menjimatkan masa, di samping memberi pilihan mengembangkan idea.

Jika diteliti, kebanyakan hasil grafik yang dihasilkan daripada teknologi generatif AI memerlukan kemahiran penggunaan secara spontan (prompt) yang tepat bagi mendapatkan hasil jitu.

Bagaimanapun, ia masih tidak dapat menandingi hasil grafik yang lebih memiliki jiwa, jika dihasilkan oleh pereka grafik.

Oleh demikian, gabungan interaksi antara pereka grafik dan teknologi generatif AI bertindak sebagai alat bantuan memperkembangkan idea.

Setidaknya, teknologi ini dapat memberi manfaat kepada para pereka grafik.

Menjawab isu hak cipta karya, sebagai individu yang menggunakan alat teknologi ini, kita perlu bertindak lebih beretika dan amalkan integrasi dalam hasil kerja.

Isu ini kembali kepada perkara asas integriti seorang individu untuk memastikan sesuatu hasil karya itu asli serta bukan plagiat.

Hasil karya perlu bebas daripada sebarang hasil kerja individu lain, walaupun menggunakan apa jua alat teknologi.

Bagi pembuat polisi pula, penting untuk isu ini diteliti dengan lebih mendalam dan jelas supaya tidak menganiaya mana-mana pihak.

Selain industri kreatif dan seni, apa jua sudut bidang masih memerlukan sentuhan manusiawi.

Kita tidak boleh bergantung semata-mata daripada hasil akhir teknologi.

Inilah yang memberikan keunikan pada sesuatu hasil kerja itu.

Seiring dengan perkembangan teknologi, pereka grafik perlu memperluaskan keterampilan dan pengetahuan mereka.

Golongan tersebut perlu mengikuti perubahan arus teknologi dan memanfaatkan peluang baharu daripada teknologi generatif AI ini.

Dengan kolaborasi manusia dan AI, integrasi ini akan membawa industri reka bentuk grafik ke peringkat lebih tinggi dengan hasil karya digital yang inovatif serta efektif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI