fbpx

Tawaran gaji tinggi tarik pengundi muda di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gaji yang setimpal dalam sektor pembuatan yang banyak disertai oleh golongan muda menjadi modal untuk memancing undi pada PRN kali ini. – gambar hiasan

SHAH ALAM – Manifesto gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Sela­ngor dikenali Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad untuk Lima Tahun yang diumumkan kelmarin mampu menarik pengundi termasuk golongan muda.

Manifesto yang mempunyai 52 tawaran itu wajar dipuji kerana penambahbaikan yang dilakukan bersifat lebih spesifik kepada semua golongan dan kawasan.

Penganalisis politik, Prof. Madya. Dr. Mohd. Mahadee Ismail berkata, secara umumnya manifesto lebih kepada janji politik ‘duplicate’ kepada pengundi.

Katanya, kebijaksanaan manifesto PH-BN Selangor adalah mereka lebih khusus se­perti penawaran 100,000 peluang pekerjaan kepada belia Selangor.

“Tawaran gaji tinggi mampu menarik golongan muda yang baharu keluar universiti dan tiada pekerjaan untuk menyokong mereka.

“Begitu juga tawaran Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Kesemua ini adalah berse­suaian dengan situasi semasa tetapi orang tahu manifesto hanyalah janji politik dan belum tentu di­sempurnakan 100 peratus,” katanya kepada Kosmo!.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia memberitahu, kalau lihat situasi sekarang sentimen anti UMNO-DAP agak kuat di Selangor utara yang menjadi kubu kuat Perikatan Nasional (PN).

Namun katanya, Pasukan Perpaduan Selangor bijak menarik perhatian pengundi di situ dengan mewujudkan jajaran yang menghubungkan perkhidmatan rel di Klang ke Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Sabak Bernam.

“Begitu juga dengan jajaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Tanjong Sepat dan Sungai Pelek yang penyokong PH-BN dan PN adalah sama rata,” jelasnya.

Mohd. Mahadee menegaskan manifesto adalah antara konsep lima M yang menjadi tunjang menentukan sokongan pada pilihan raya selain money (peruntukkan), machinery (jentera), media sosial dan manipulasi.

“Media sosial contohnya kalau dilihat sebelum ini PN lebih cen­derung menggunakan TikTok, BN pula Facebook dan PH adalah Twitter,” katanya.

Beliau berkata, kelemahan masih ada bagi gabungan PH-BN dengan dipengaruhi isu-isu nasional tambahan kerajaan yang menerajui Selangor ketika ini adalah sama dengan peringkat Persekutuan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara Dr. Abdul Aziz Azizam berkata, manifesto yang ditawarkan pernah dijanjikan sebelum ini seperti elaun RM1,500 sebulan kepada 2,000 golongan muda dalam latihan industri.

“Benda itu tidak perlu tunggu manifesto kerana ia memang diperlukan. Bagaimanapun, saya tidak fikir manifesto akan ditentang,” katanya.

Ujar Abdul Aziz, perkara yang menjadi pertimbangan golongan muda adalah bagaimana kestabilan dan isu bangsa serta agama dikendalikan.

“Rakyat masih menyebut mengenai kalimah Allah dan kos harga barang terhadap maklum balas pemerintahan ketika ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI