SHAH ALAM – Desakan sumber kewangan termasuk dipercayai untuk menjual barangan kes berisi dadah menjadi motif seorang anggota berpangkat sarjan memecah masuk stor eksibit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dekat sini baru-baru ini.
Penangkapan suspek itu dilakukan pukul 12.30 tengah hari semalam di IPD tersebut dan kini direman selama tujuh hari.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan siasatan mendapati suspek berusia 44 tahun itu bertugas sebagai penolong pegawai penyiasat di Bahagian Siasatan Jenayah komersial di IPD Sepang sejak 2019.
Sarjan itu juga telah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 21 tahun.
“Siasatan mendapati suspek yang mengaku melakukan perbuatan itu secara sendirian dan dia dalam keadaan terdesak untuk mencari sumber kewangan. Kita juga mempercayai dia telah menggunakan satu atau dua bungkusan dadah itu untuk kegunaan sendiri selain berkemungkinan ada cubaan untuk menjualnya,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Menurut beliau, bagaimanapun siasatan masih dilakukan sama ada suspek telah berjaya menjual barangan tersebut atau tidak.
Tambah Hussein, sejumlah 404 bungkusan barangan kes berisi dadah jenis heroin dan syabu yang dianggarkan seberat 724 gram (g) telah dilarikan suspek semasa kejadian pada 28 Julai lalu.
Tambahnya, suspek sebelum ini telah ditahan kerja susulan positif syabu pada 14 Julai lalu.
“Barangan kes yang dilarikan suspek itu sebenarnya adalah bungkusan dadah yang ingin dilupuskan bagi kes sepanjang 2014 hingga 2020 setelah mendapat arahan mahkamah. Ia telah diletakkan atau diasingkan di pejabat pentadbiran stor eksibit untuk dilupuskan. Justeru, tidak memberikan kesan terhadap kes-kes yang sedang dalam perbicaraan,” katanya.
Hussein menjelaskan suspek bagaimanapun tidak berjaya memasuki stor eksibit utama yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang tinggi.
“Tiada kecuaian dalam kes ini. Kita tidak akan kompromi dalam mana-mana pihak mahupun anggota yang melakukan kesalahan jenayah atau salah laku. Kertas siasatan sedang dilengkapkan dengan siasatan dilakukan mengikit 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE