fbpx

Ramai kena ganggu dengan kera di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

MELAKA – Kes kacau ganggu hidupan liar melibatkan kera paling tinggi direkodkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, secara keseluruhan sebanyak 1,972 aduan telah diterima Perhilitan.

Ujarnya, ancaman tertinggi membabitkan kera dengan 1,702 aduan, babi hutan (166 aduan), lotong (45 aduan), musang (24 aduan) dan lain-lain spesies (36 aduan).

“Pelbagai inisiatif telah dilakukan untuk mengawal populasi haiwan liar ini antaranya pemasangan perangkap dan setakat ini pihak jabatan juga sedang mengedarkan 100 unit perangkap kera jenis corong kepada rakyat yang terlibat.

“Kerajaan negeri melalui Perhilitan telah melaksana Program Basmi Musuh Tanaman tahun ini dengan kos berjumlah RM1.19 juta bagi menyediakan 316 perangkap haiwan liar pelbagai jenis,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi) mengenai inisiatif kerajaan negeri untuk mengawal hidupan liar.

Jelasnya, perangkap tersebut juga telah mulai dipasang di kawasan-kawasan konflik dengan jumlah aduan tertinggi sejak bulan lalu.

Tambah Rais, setakat ini Perhilitan Melaka telah melaksanakan sebanyak 190 operasi bagi menangani konflik hidupan liar dengan manusia setakat Julai tahun ini dan jumlah tersebut meningkat berbanding 182 operasi dilaksanakan sepanjang tahun lalu.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Mohd. Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) berhubung sinergi antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan persatuan pencinta haiwan, Rais berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dalam usaha membela kebajikan haiwan terbiar khususnya anjing dan kucing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI