BUKIT KAYU HITAM – Sebagai menunaikan nazar, seorang lelaki bertindak membotakkan kepalanya setelah hasrat untuk melihat bekas gurunya menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini tercapai.
Individu terbabit, Shahnun Abdul Rahman, 54, berkata, dia gembira apabila melihat Tokoh Guru Kedah 2022, Zainol Abidin Mohamad dipilih oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk menjadi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kayu Hitam.
Katanya, rasa gembira itu disebabkan oleh keyakinannya bahawa Zainol atau lebih dikenali sebagai Cikgu Non mampu memikul amanah sebagai wakil rakyat di situ.
“Cikgu Non merupakan guru matematik saya sekitar tahun 80-an di Sekolah Menengah Changlun dan saya cukup kenal keperibadiannya. Dia sentiasa mengambil berat mengenai orang lain terutama para pelajar dan tidak bertangguh memberi bantuan dalam apa jua cara,” katanya ketika ditemui selepas meminta Cikgu Non untuk membotakkan kepalanya pada Majlis Kacau Bubur Asyura di Dusun Fadzil, Kampung Changkat Setol, dekat sini hari ini.
Katanya, dia lega apabila dapat menunaikan nazar itu hari ini.
Dalam pada itu, Shahnun turut menaruh keyakinan betapa gurunya itu mampu meraih kemenangan pada PRN kali ini. – KOSMO! ONLINE