KUALA SELANGOR – Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Harrison Hassan mahu lebih banyak kemudahan infrastruktur dan prasarana asas di Bandar Puncak Alam di sini, dibina atas faktor kepadatan penduduk.
Fasiliti itu antaranya melibatkan pembinaan balai polis, balai bomba dan penambahan sekolah sedia ada.
Harrison berkata, perkara itu dianggap keperluan asas bagi penduduk kawasan tersebut yang hampir 50 peratus merupakan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram.
“Tidak dinafikan ada infrastruktur asas namun mereka memerlukan balai polis dan bomba selain sekolah baharu. Semua itu bergantung kepada Kerajaan Persekutuan dan menjadi hasrat untuk mengajukannya jika diberi mandat oleh rakyat kelak,” katanya ketika ditemui di sekitar Jeram di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh itu mengakui dirinya kurang dikenali dan tekad menyantuni semaksimum mungkin pengundi DUN tersebut.
Justeru, kata Harrison, pendekatannya kini sememangnya turun padang menemui pengundi berbanding program ceramah.
Harrison berdepan saingan dua penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Jahaya Ibrahim yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor. – KOSMO! ONLINE