KUALA PILAH – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir akan berkempen dengan menggunakan kerusi roda.
Menurutnya, beliau membuat keputusan untuk turun berkempen di kawasan itu dengan menggunakan kerusi roda memandangkan keadaan dirinya yang masih belum sembuh selepas terlibat dalam kemalangan baru-baru ini.
“Hari ini juga saya sudah pergi ziarah kematian penduduk di dalam kawasan (Jerem Padang) dengan menggunakan kerusi roda. Isteri dan rakan-rakan bantu menolak saya. Kalau sebelum ini saya boleh berjalan kaki sendiri tetapi dalam keadaan macam ini saya buat keputusan untuk berjumpa seramai yang mungkin walaupun berkerusi roda,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu Kikir di sini hari ini.
Turut hadir melawatnya Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Tambahnya, beliau perlu ambil masa berehat dan akan terus berkempen seperti biasa selepas ini
“Jentera saya tiada masalah ditambah dan berjalan dengan lancar. Saya akan buat yang terbaik untuk pengundi-pengundi di Jeram Padang,” tambahnya.
Jelas Mohd Zaidy berkenaan keadaan pemandunya, beliau masih dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah. – KOSMO! ONLINE