fbpx

Op PRN: 372 laporan diterima sejak 27 Julai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 372 laporan dalam Op Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sejak 27 Julai lalu hingga semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata, daripada jumlah itu, 147 daripadanya adalah dari Kedah, empat dari Pulau Pinang, Selangor (133), Negeri Sembilan (25), Terengganu (58) dan lima lagi dari Kelantan.

“Setakat ini tangkapan adalah dua orang di Kedah, manakala sejumlah 24 kertas siasatan dibuka. Lima daripadanya di Kedah, empat di Pulau Pinang, lapan di Selangor, Negeri Sembilan (dua), Kelantan (empat), dan Terengganu (satu).

“Berdasarkan statistik harian semalam, sebanyak 130 laporan polis diterima, 271 ceramah yang diadakan dengan kebenaran permit dan empat kertas siasatan dibuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sebanyak 778 permit dikeluarkan bagi mengadakan ceramah dalam tempoh tersebut di enam negeri terbabit.

Dalam pasa itu, kata Razarudin, semalam di Jeniang, Kedah polis menerima laporan mengenai banner (kain rentang) yang ditemui kesan torehan dan disembur cat berwarna biru di bahagian muka gambar calon parti tersebut.

Jelasnya, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (kesalahan mengembangkan kesalahan atau permusuhan) dan disiasat selanjutnya di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (kesalahan jenayah khianat)

Di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, katanya, 30 biji kerusi plastik berwarna putih di bawah khemah Pusat Daerah Mengundi, Bukit Gelugor disedari hilang disyaki dicuri.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan (Kesalahan Mencuri). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI