PUTRAJAYA – Barisan Kabinet dan Ahli Parlimen digalakkan supaya menjalani saringan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali bagi memastikan tahap kesihatan mereka dalam keadaan baik.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, perkara itu juga sekali lagi diingatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi mesyuarat Kabinet, pagi tadi.
“Saringan kesihatan berkenaan berkemungkinan akan mula dilaksanakan pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang dengan menggerakkan petugas-petugas Kementerian Kesihatan (KKM) ke Parlimen.
“Cadangan (saringan kesihatan) itu dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat (Tan Sri Johari Abdul) tempoh hari dan jawatankuasa ANMS (Agenda Nasional Malaysia Sihat) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi),” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan KKM 2023 di sini hari ini.
Terdahulu menerusi ucapannya, Zaliha berkata, KKM terus komited dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja terjaga menerusi Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) WOW.
“Program ini merupakan platform dalam menyuntik advokasi kesihatan dan mempersiapkan warga kerja KKM ke arah tahap kesihatan yang terbaik demi meneruskan perjuangan dalam memperkasakan sistem kesihatan negara,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Zaliha berkata, kementerian akan melaksanakan pemberian suntikan vaksin influenza khususnya kepada petugas barisan hadapan bagi melindungi kakitangannya daripada virus itu.
“Kita dah pun merancang untuk memberikan (suntikan) kepada pekerja-pekerja kesihatan khususnya barisan hadapan dan (ketika ini) sedang menunggu untuk pembelian vaksin influenza sebanyak 150,000 dos,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE