fbpx

Mahkamah: Bicara saman fitnah Anwar – Awang ditetapkan Julai 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (kiri) dan Awang

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes saman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim, kerana didakwa membuat kenyataan fitnah terhadap Perdana Menteri, ditetapkan selama enam hari pada Julai 2026.

Perkara itu disahkan peguam bela Anwar, Datuk SN Nair, ketika dihubungi, selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, hari ini.

“Mahkamah mengarahkan kedua-dua peguam pihak untuk melengkapkan dokumen selewat-lewatnya pada 30 November 2023 dan memfailkan sebarang permohonan interlokutori jika ada dalam tempoh sebulan dari hari ini. Tarikh bicara ditetapkan pada 13 hingga 16, 20 dan 21 Julai 2026,” katanya.

Pada 3 Mac lalu, Anwar, 75, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, memfailkan saman itu menerusi Tetuan SN Nair & Partners selaku plaintif dengan menamakan Awang sebagai defendan tunggal.

Berdasarkan penyataan tuntutan, Anwar berkata, defendan dengan sengaja memfitnah walaupun plaintif sudah menafikan secara terbuka dan pada realitinya tidak mencampuri tugas serta kuasa agensi penguatkuasaan dan Jabatan Peguam Negara.

Awang dikatakan mengeluarkan kenyataan fitnah apabila mendakwa sikap pendendam Perdana Menteri berhubung pendakwaan terpilih lebih teruk berbanding ketika pentadbiran pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Oleh itu, katanya, dakwaan penyiasatan, penguatkuasaan dan pendakwaan terpilih tidak mempunyai kebenaran, palsu, tidak berasas serta berniat jahat.

Anwar berkata, defendan menyedari sepenuhnya komitmen plaintif yang dibuat kepada masyarakat umum beberapa kali mengenai hasrat dalam membasmi rasuah dan sokongan penuh terhadap kebebasan institusi penyiasatan, pendakwaan serta badan kehakiman.

Awang dilaporkan membuat kenyataan berhubung pendakwaan terpilih itu ketika ditemui media di lobi Parlimen pada 21 Februari lalu.

Dengan merujuk pendakwaan terhadap bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta, Awang dilaporkan mendakwa ia adalah permulaan daripada tindakan Perdana Menteri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI