JOHOR BAHRU – Seorang lelaki dengan sembilan rekod lampau ditahan polis kerana memandu secara merbahaya, menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan merosakkan harta benda awam awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek yang berusia 31 tahun itu ditahan di sekitar Jalan Tebrau, di sini pada pukul 4.41 pagi.
Menurut beliau, polis terlebih dahulu mengesan suspek yang sedang memandu kenderaan jenis Proton Persona dalam keadaan mencurigakan sekitar pukul 2 pagi.
“Suspek bertindak melarikan diri daripada tujuh buah kenderaan peronda polis (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan yang mengekorinya sejauh 15 kilometer, Suspek berjaya ditangkap selepas kenderaan dipandunya merempuh pagar keselamatan tepi jalan sebuah taman perumahan di sekitar bandar raya ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Raub berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan empat rekod lampau bersabit kesalahan dadah, manakala ujian urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Tambah beliau, suspek direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan; Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE