SEBAGAIMANA air berupaya memadamkan api, ia juga boleh dimanfaatkan sebagai bahan bakar untuk kenderaan pada masa akan datang.
Itu merupakan pandangan seorang lelaki warga Indonesia yang tular selepas inovasi dikenali sebagai Niku Banyu atau akronimnya Nikuba mendapat perhatian sebuah syarikat pengeluar kenderaan di Itali.
Empunya nama, Aryanto Misel, 67, berjaya mereka Nikuba yang menukar air kepada bahan api kenderaan bermotor.
Menurutnya yang merupakan seorang ahli fizik, Nikuba merupakan produk inovasi paling mendapat perhatian sehingga membuka mata pihak pemerintah.
“Nikuba mampu menukar air kepada bahan api motosikal. Saya telah menguji kemampuan Nikuba selama beberapa bulan dan tidak pernah menggunakan minyak petrol, sebaliknya mengisi semula air ke dalam motosikal.
“Sistem bahan api hidrogen Nikuba ini boleh menukar air biasa kepada hidrogen.
“Ia sumber bahan api yang bersih dan cekap dengan hanya menggunakan setitis air, sebuah motosikal boleh bergerak sejauh 45 hingga 50 kilometer,” katanya yang berasal dari Semarang.
Tambahnya, biarpun dia mendakwa Nikuba berfungsi, namun kesahihannya masih belum dimuktamadkan.
Pihak pemerintah juga sebelum ini tidak memandang serius dengan inovasi yang dihasilkan oleh Aryanto.
Sebelum ini, lelaki dilahirkan pada 30 Ogos 1955 itu pernah menghasilkan 120 inovasi dan ada antaranya dijual di luar negara.
“Sudah ada 120 alatan yang saya cipta, termasuk Nikuba. Lapan daripadanya saya jual ke Jepun dan Hong Kong.
“Semua rekaan ini dihasilkan sejak saya mula jatuh cinta dengan subjek Fizik semasa sekolah.
“Namun sayangnya, pihak luar lebih menghargainya,” ujarnya yang menghasilkan inovasi pertama sekitar tahun 1987.
Ketika itu, Aryanto mencipta Avtur yang merupakan bahan api untuk pesawat Aeromodelling.
Pada 2005 pula, dia kembali membuat penemuan baharu dengan biodiesel yang diperbuat daripada minyak masak terpakai dan digunakan secara meluas oleh bot nelayan.
Tidak berhenti di situ, Aryanto sekali lagi mencipta inovasi dengan menghasilkan alat pemadam api daripada kulit ubi kayu pada 2010.
Inovasi itu terdiri daripada dua versi iaitu dalam bentuk bola dan alat pemadam api ringan (APAR) yang dibeli oleh sebuah syarikat di Jepun.
Penemuan seterusnya adalah jaket kalis peluru organik diperbuat daripada sabut kelapa dan hampas tebu yang mendapat perhatian pembeli di Hong Kong.
Meskipun inovasi Aryanto mendapat perhatian di peringkat antarabangsa, namun dia kesal dengan penerimaan di negaranya sendiri.
Kongsinya, sebelum Nikuba menjadi tular dan rekaan lain diiktiraf pihak luar, terdapat inovasi rekaannya diperlekehkan pihak pemerintah.
Bagaimanapun, hal itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berinovasi.
Akhirnya menerusi Nikuba, Aryanto telah dijemput ke Itali untuk menunjukkan cara inovasi tersebut berfungsi.
Beberapa wakil daripada syarikat automotif terkemuka Eropah seperti Ducati, Ferrari dan Lamborghini menyaksikan sendiri pembentangan Aryanto.
Katanya lagi, buat masa ini, keupayaan Nikuba sebagai alternatif enjin kenderaan masih menanti kesahihan pihak pakar.
“Pakar dan pemerintah masih meneliti inovasi saya, meskipun pada saat ini ada pihak luar yang sudah menunjukkan minat.
“Sebolehnya, saya mahu pihak pemerintah membuka mata bukan sahaja terhadap inovasi ini.
“Rakyat yang kreatif boleh membantu rakyat di negara ini,” jelasnya.