KUALA LUMPUR – Penyanyi Liza Hanim melahirkan rasa terkilan apabila terdapat pihak yang cuba memburukkan namanya dengan melemparkan tuduhan dia akan ‘menenggelamkan’ mana-mana rakan duet dalam setiap persembahan.
Liza, 43, berkata, ideologi sebegitu dipercayai disebarkan oleh pakatan yang cuba menjatuhkan imejnya sebagai seorang penyanyi malah menyifatkan penggunaan ‘makan’ penyanyi duet dianggap melampau.
“Sebenarnya saya tidak tahu kenapa orang bercakap saya akan tenggelamkan penyanyi duet.
“Sampaikan ada pakatan yang cuba mencipta imej atau ideologi sebegitu mengenai saya.
“Perkataan ‘makan’ itu agak berlebih-lebihan sebenarnya.,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, semalam.
Jelasnya yang popular menerusi lagu Gelisah Mimpi, setiap persembahan sudah dirancang terlebih dahulu dan berbincang dengan rakan duet untuk memastikan semuanya berjalan lancar.
“Tugas saya hanya menyanyi sahaja dan naik pentas cuma lontarkan semua energi dan kemampuan yang ada.
“Namun semuanya mengikut apa yang sudah dirancang. Kalau betul saya ‘makan’ rakan duet, pasti tiada sesiapa yang akan menjemput saya menyanyi lagi.
“Kemudian, setiap persembahan adalah dirancang dan jarang berlaku perkara yang muncul secara spontan,” katanya lagi.
Tambah pemilik nama penuh Haliza Hanim Abdul Halim itu, dia berharap pihak-pihak tertentu berhenti menyebarkan perkara tidak benar yang kadangkala menggores hatinya.
“Pesanan kepada mereka yang sebarkan ideologi sebegitu, sudah-sudahlah ya. Tidak perlulah lakukan hal sebegitu.
“Kadang-kadang saya terbaca yang senhaja menulis perkara tersebut di mana-mana platform media sosial kemudian ramai pula yang mempersetujuinya.
“Memang cuba elak tetapi serba sedikit memang akan terasa juga,” ujarnya.
Difahamkan, dakwaan tersebut timbul setiap kali dia akan mengadakan persembahan duet dengan mana-mana penyanyi dalam setiap acara atau pertandingan nyanyian sebelum ini. – KOSMO! ONLINE