SEPANG- Taktik sebuah sindiket menyembunyikan dadah dalam kotak sebelum dimasukkan ke dalam guni bagi mengaburi pihak berkuasa akhirnya tumpas selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan penyeludupan dadah bernilai lebih RM3.2 juta.
Difahamkan, bungkusan dadah itu disembunyikan dalam bungkusan dagangan di kawasan kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dihantar kepada penerima.
Dalam operasi pada 26 Julai lalu, anggota Cawangan Eksport, Bahagian Perkastaman Zon Tengah, Unit III (LTAKL) JKDM menahan sebuah lori ‘bonded’ di bahagian belakang Pintu 9 Eksport kargo KLIA dan menemui 67.098 kilogram (kg) dadah disorok dalam empat daripada 24 bungkusan.
Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah JKDM, Wong Pun Sian berkata, dadah seberat 41.8407kg disyaki methamphetamine dan 25.2573kg dadah pula disyaki methylenedioxy-methamphetamine (MDMA).
“Siasatan awal mendapati parcel itu akan dihantar ke alamat penerima di Sabah.
“Maklumat pengirim disyaki dipalsukan bagi mengelirukan dan mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan, sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Susulan itu, JKDM menyeru orang ramai membantu agensi itu memerangi aktiviti penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan serta tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan. – KOSMO! ONLINE