PETALING JAYA – Bekas Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin secara rasmi mengumumkan keluar daripada parti UMNO dan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Muhamad Muqharabbin mendakwa, tindakannya itu susulan perjuangannya selama menjadi ahli UMNO akhirnya menjadi sia-sia.
“Saya sertai PN kerana apa yang diperjuangkan dalam mesyuarat-mesyuarat penting iaitu No Anwar, No DAP, akhirnya sia-sia. Apa guna mesyuarat tiap-tiap bulan akhirnya ditipu hidup-hidup dan diperbodohkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, keputusannya memilih masuk PN selepas penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15, bukanlah untuk mengejar jawatan, sebaliknya ingin memperkukuhkan penyatuan bangsa Melayu.
“Kalau saya kejar jawatan, buat apa saya keluar UMNO? Kan UMNO bersama kerajaan kini? Jadi tak perlu nak menambah dosa fitnah dan menuduh yang bukan-bukan.
“Lagipun saya hanya keluar parti dengan baik, bukan keluar Islam. Jadi saya pesan, jadilah orang yang memperjuangkan Islam dan orang Melayu yang beradab dan bermaruah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhamad Muqharabbin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli UMNO yang pernah bersama-sama berjuang kerana ia adalah pengalaman dan kenangan yang tidak dapat dijual beli dengan wang ringgit.
Bagaimanapun, Muhamad Muqharabbin berharap agar Kerajaan Perpaduan dapat menunaikan apa yang telah dijanjikan kepada pengundi dan rakyat.
“Saya minta kerajaan perlu kerja keras dan buktikan dengan jelas apa yang telah dilaksanakan. Yang baik saya sokong yang tidak betul saya perlu suarakan asalkan rakyat mendapat manfaat,” jelasnya.
Sementara itu, Muhamad Muqharabbin turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kerana sudi menerima hasratnya untuk bersama. – KOSMO! ONLINE