PETALING JAYA – “Saya akur dengan perintah penangguhan yang diberikan”.
Demikian respons penerbit sensasi, Datuk A. Aida mengenai permohonan Amelia Henderson menangguhkan permohonan maaf dan bayaran ganti rugi dalam kes pelanggaran kontrak sebuah drama tahun lalu yang dibenarkan mahkamah.
Jelas A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, dia menghormati keputusan mahkamah sejak awal kes dibicarakan lagi.
Pemilik rumah produksi A. Aida Production yang bakal muncul dengan sebuah dokumentari drama jenayah dan penyiasatan berjudul Police File itu juga percaya setiap individu mempunyai hak untuk memperjuangkan keadilan bagi diri mereka sendiri.
Justeru, dia juga akan meneruskan perjuangan dalam menuntut keadilan bagi pihak dirinya dan produksi memandangkan kes tersebut sudah berlarutan dan rayuan telah ditetapkan.
“Semua pihak ada hak masing-masing. Memandangkan rayuan telah ditetapkan, maka pihak saya akan teruskan menuntut keadilan bagi pihak A. Aida Production,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Sebelum ini, Amelia Henderson telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi tersebut pada 7 April lalu.
Mahkamah memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap saman yang dikemukakan kepada Amelia selaku defendan.
Dalam penghakimannya, hakim itu berkata, mahkamah mendapati Amelia telah diikat dengan kontrak yang ditandatangani dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.
Penghakiman mahkamah juga mendapati Amelia sendiri bersetuju membintangi drama itu selain bersetuju dengan watak ditawarkan iaitu Aira yang mana Amelia adalah heroin dalam drama tersebut.
Justeru mahkamah memerintahkan Amelia membayar ganti rugi am selain faedah 5% kepada plaintif yang kesemuanya berjumlah lebih RM200,000. – KOSMO! ONLINE.