SEPANG – Syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) terus menyantuni golongan kurang bernasib baik apabila menunaikan impian 84 individu asnaf di Pahang untuk menunaikan ibadah umrah ke Tanah Suci.
Menerusi Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 4.0 Andalusia dengan Kerajaan Negeri Pahang itu, kesemua asnaf terlibat dibawa menunaikan umrah secara percuma selain turut menerima wang belanja berjumlah RM500.
Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada tanggung jawab sosial korporat (CSR) pihaknya selain mahu membantu golongan asnaf menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
“Kesemua jemaah asnaf itu menerima layanan istimewa kerana ada penglibatan kerajaan negeri termasuk Jabatan Agama Islam Pahang dan majlis daerah di mana mereka memainkan peranan memilih individu benar-benar layak.
“Jadi, Andalusia berasa sangat teruja membawa mereka menunaikan umrah selain turut memberikan kursus dan bimbingan kepada jemaah sebagai persediaan ke Tanah Suci,” katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini tadi.
Mengulas lanjut, katanya, Andalusia berharap agar usaha dilakukan itu dapat memberi terjemahan bahawa pihaknya bukan sahaja berniaga demi keuntungan, tetapi turut berkongsi pendapatan bersama individu memerlukan.
“Jika mahu harapkan golongan asnaf, mungkin sukar untuk mereka ke Tanah Suci. Jadi, apabila ada program seperti ini, ia ada rangsangan buat mereka untuk menjadi insan lebih baik selepas pulang dari umrah.
“Susulan itu, kami bercadang untuk meneruskan program sedemikian pada masa akan datang dengan melibatkan golongan asnaf dari negeri-negeri lain juga,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Lembaga Andalusia, Izzati Ibrahim berkata, pihaknya akan menawarkan layanan istimewa kepada kumpulan asnaf itu sepanjang berada di Mekah dan Madinah dengan menetapkan seorang mutawif untuk 10 jemaah.
“Ia bagi memastikan mereka mendapat penjagaan rapi daripada mutawif bagi memudahkan urusan di Tanah Suci.
“Berbeza dengan pakej biasa, kebiasaannya seorang mutawif akan menguruskan seramai 40 jemaah,” katanya.
Untuk rekod, program tersebut telah memasuki edisi keempat di mana edisi sebelumnya telah diadakan pada 2016, 2018 dan 2019 dengan melibatkan kira-kira 800 jemaah asnaf setakat ini. – KOSMO! ONLINE