PETALING JAYA – Pelakon Amelia Henderson mengalirkan air mata apabila dilabel keras kepala dan sombong rentetan tetap memperjuangkan isu pelanggaran kontrak syarikat produksi milik penerbit sensasi, Datuk A. Aida iaitu A.Aida Production.
Amelia atau nama lengkapnya Amelia Thripura Henderson berkata, tidak pernah terdetik sepanjang 27 tahun karier lakonannya, dia akan berdepan dengan cabaran sebegini.
“Ada komen yang menganggap saya degil dan sombong kerana mengambil keputusan memperjuangkan kes ini.
“Kalau orang lain mungkin memilih untuk tidak meneruskan jalan ini.
“Namun, sepanjang 27 tahun dalam industri, saya tidak pernah membayangkan berdepan situasi seperti ini,” katanya dalam nada sebak kepada Kosmo! Online ketika ditemui di pejabat syarikat guaman, Fernandez dan Selvarajah di sini hari ini.
Lega apabila keadilan seperti kian menyebelahi dirinya, pelakon filem Pulau itu bagaimanapun enggan terlalu terkesan dengan konfliknya berlaku. Katanya, dia tetap optimis dengan rezeki yang datang daripada Tuhan walaupun reputasinya tercalar.
“Sudah semestinya saya ambil berat mengenai kerjaya saya dan tidak mahu menghancurkan segala yang telah dibina selama ini.
“Apabila saya fikir tentang rezeki akan datang, saya reda kerana rezeki bukan di tangan manusia tetapi semua terletak atas ketentuan Tuhan,” ujarnya lagi.
Hari ini, Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan membenarkan rayuan Amelia menangguhkan permohonan maaf dan bayaran ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi A.Aida Production dalam isu pelanggaran kontrak sebuah drama tahun lalu.
Sebelum ini, Amelia telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi tersebut pada 7 April lalu.
Mahkamah memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap saman yang dikemukakan kepada Amelia selaku defendan.
Dalam penghakimannya, hakim itu berkata, mahkamah mendapati Amelia telah diikat dengan kontrak yang ditandatangani dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.
Untuk rekod sepanjang perbicaraan yang bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plantif termasuk A.Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang, 53, dan tiga saksi defendan termasuk Amelia sendiri hadir untuk memberi keterangan.
Semasa perbicaraan seorang pengurus syarikat produksi memberitahu bahawa A.Aida Production Sdn. Bhd. terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dilakukan Amelia.
Sementara itu, Amelia tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika dia menerima tawaran dan membintangi drama berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.
Sebelum ini, media melaporkan Amelia dan pelakon Idris Khan berdepan dengan tindakan saman daripada A. Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.
Bagaimanapun, saman melibatkan A.Aida dan Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman itu. – KOSMO! ONLINE