NAPLES – Kelab Liga Arab Saudi, Al-Hilal dilaporkan bersedia untuk membuat bidaan bernilai £120.3 juta (RM696.82 juta) kepada Napoli untuk mendapatkan penggempur sensasi mereka, Victor Osimhen.
Kelab-kelab dari Arab Saudi masih belum sedia untuk menghentikan pemburuan mereka mendapatkan khidmat pemain-pemain berkelas dunia dan berprofil tinggi di Eropah untuk di bawa ke negara itu termasuk bidaan terbaharu untuk dinilai Napoli.
Cadangan Al-Hilal untuk membawa masuk Osimhen ke Arab Saudi dilaporkan berpunca daripada keengganan penyerang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe menolak tawaran yang dikemukakan yang membolehkan dia meraih pendapatan sehingga £700 juta (RM4 bilion) sepanjang kontraknya.
Bagi mengelak berdepan kegagalan sekali lagi dalam misi kali ini, Al-Hilal dilaporkan bersedia untuk menawarkan gaji mingguan sehingga £1 juta (RM5.79 juta) seminggu untuk pemain itu yang membantu Napoli menjulang kejuaraan Serie A musim lalu.
Pemain berusia 24 tahun itu dilaporkan sedang mengadakan rundingan bersama Napoli untuk melanjutkan kontraknya di Napoli, namun perbincangan itu masih belum menemui kata putus ketika perjanjian semasanya berakhir pada 2025.
Bagaimanapun, tawaran lumayan Al-Hilal itu mungkin akan ditolak oleh Napoli ketika pasukan itu meletakkan tanda harga sebanyak £170 juta (RM984.71 juta) untuk mereka bersetuju melepaskan penggempurnya itu.
Osimhen menyertai Napoli dari Lille pada 2020 dengan harga £69 juta (RM399.67 juta) dan musim lalu menyaksikan dia berjaya meledak 26 gol sekali gus menjadi pemain Afrika pertama dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Serie A. – AGENSI