fbpx

Ahli perniagaan lepas, bebas salah guna wang RM10,000 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang ahli perniagaan daripada pertuduhan menyalahgunakan wang RM10,000 milik sebuah syarikat minyak dan gas bagi membuat pembayaran bil-bil kad kreditnya, lima tahun lepas.

Hakim Datin Sabariah Othman memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap tertuduh Mohamed Noor Mohamed Amin, 50, diakhir kes pendakwaan.

“Setelah mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan dan dokumen yang dikemukakan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membawa satu keterangan kukuh untuk membuktikan wang RM10,000 ini adalah milik syarikat FMG Synergy Sdn Bhd. Oleh itu, tiada bukti menunjukkan wang milik syarikat itu telah disalahgunakan oleh tertuduh.

“Mahkamah dengan ini memutuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri daripada pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan,” kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Noor didakwa menyalahgunakan wang RM10,000 milik syarikat FMG Synergy Sdn. Bhd. dengan menyebabkan wang tersebut dikeluarkan dari akaun bank milik syarikat Berkat Hasrat Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (milik tertuduh) untuk membayar bil-bil kad kredit persendiriannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Ipoh, Dang Wangi di sini pada 19 September 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shakira Aliana Alias manakala peguam Nurul Huda Razali mewakili Mohamed Noor.

Sepanjang perbicaraan kes bermula 23 November 2022 seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI