PETALING JAYA – Bekas isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali bermain piano sambil penyanyi, Aina Abdul dan Haziq Rosebi menyanyikan lagu berjudul Lemak Manis menarik perhatian pengguna media sosial.
Menerusi video dimuat naik Haziq pada akaun TikTok semalam, pertemuan mereka bertiga tidak dirancang apabila secara kebetulan, vila ditempah mereka di Pulau Langkawi bersebelahan dengan vila Dr. Siti Hasmah.
“Memang tak rancang langsung pertemuan dengan Tun Siti Hasmah. Kebetulan Vila beliau bersebelahan dengan vila kami di Langkawi.
“Jadi kami diberitahu yang Tun jemput saya dan Aina untuk beramah mesra dengan Tun. Kebetulan Tun memang suka lagu Lemak Manis.
“Kami pun ‘jamming’ sama-sama. Ini merupakan satu penghargaan terbesar dapat menyanyi sambil diiringi petikan piano daripada Tun Siti Hasmah sendiri,” katanya pada hantaran video tersebut.
Dalam pada itu, mereka bertiga sempat berbual dan Tun Siti Hasmah turut bertanyakan pelbagai soalan.
“Saya lahir Kluang, Johor lepas tu masuk Akademi Fantasia tahun 2006 menyanyi sampai sekarang. Kalah dapat nombor empat. Alhamdulillah, saya suka buat lagu-lagu lama tradisional, lagu Ahmad Jais,” katanya ketika ditanya Tun Siti Hasmah sama ada dia memenangi Akademi Fantasia.
“Tu era sayalah tu, mungkin saya konservatif sebab saya orang lama. Lepas tu suka lagu-lagu lama,” kata Tun Siti Hasmah dalam perbualan tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, pengguna media sosial meninggalkan pelbagai maklum balas selain menyukai layanan Tun Siti Hasmah terhadap Aina dan Haziq.
“Saya pernah pergi rumah Tun Siti Hasmah. Tun pagi-pagi main piano lagu Malaysia Oh Tanah Airku. Bestnya memori tu,” komen Lynda Majid.
“Pernah makan malam dengan Tun Siti Hasmah masa di perantauan dulu. Dia membahasakan dirinya opah je,” kata Osman Baba.
“Lembut percakapan cara Tun Siti Hasmah cakap. Saya harap akan bercakap lembut dan kata-kata positif macam tu walaupun dah tua nanti,” ujar Positive Sunnyside. – KOSMO! ONLINE.
@haziqrosebiMemang tak rancang langsung pertemuan dengan Tun Siti Hasmah..Kebetulan Villa beliau bersebelahan dengan villa kami di Langkawi jadi kami diberitahu yang Tun jemput saya & aina utk beramah mesra dengan Tun..Kebetulan Tun memang suka lagu lemak manis jadi kami pun jamming sama2..Ini merupakan satu penghargaan terbesar dapat menyanyi sambil diiringi petikan piano dari Tun Siti Hasmah sendiri..What a privillage 🤗