fbpx

Tamatkan mogok lapar di Penjara Sungai Buloh – Ramkarpal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramkarpal Singh.

PUTRAJAYA – Ahli keluarga kepada tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) diminta menamatkan tindakan mogok lapar yang sedang dilakukan di pekarangan Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Timbalan Menteri di Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, pada masa ini, cadangan penambahbaikan kepada akta tersebut sedang diteliti bersama pihak Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara.

Katanya, usaha-usaha meneliti penambahbaikan kepada SOSMA 2012 itu mengikut kesesuaian semasa dan ia sedang berjalan.

“Saya yakin bahawa syor-syor berhubung cadangan penambahbaikan ini akan diangkat untuk pertimbangan kerajaan dalam masa terdekat.

“Sehubungan itu, saya memohon kepada kesemua ahli keluarga tahanan di bawah SOSMA 2012 yang sedang melakukan tindakan mogok lapar ini untuk terus bersabar dan menamatkan tindakan tersebut.

“Sementara proses reformasi undang-undang berjalan dan demi kanak-kanak kecil yang kelihatan hadir bersama di luar pekarangan Penjara Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas berhubung laporan media, keluarga kepada 69 tahanan SOSMA melancarkan mogok lapar di hadapan Penjara Sungai Buloh bermula semalam.

Seramai 34 banduan SOSMA di Sungai Buloh memulakan mogok lapar pada Ahad lalu dan diikuti ahli keluarga tahanan sehari selepas itu.

Ramkarpal berkata, dalam melaksanakan proses reformasi undang-undang itu, sesi-sesi libat urus yang dipengerusikan beliau sejak Februari lalu diadakan bersama pihak-pihak berkepentingan termasuk beberapa ahli keluarga tahanan akta itu yang sedang melakukan tindakan mogok lapar pada masa ini.

Jelasnya, sebanyak 12 sesi libat urus melalui enam fasa yang merangkumi semua pihak berkepentingan diadakan sehingga hari ini di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan perspektif holistik memandangkan undang-undang ini membawa kesan kepada semua pihak berkepentingan terlibat.

“Ini terutamanya untuk memahami bagaimana SOSMA 2012 memberikan kesan kepada kehidupan seharian ahli-ahli keluarga tahanan di bawah undang-undang tersebut.

“Cadangan penambahbaikkan kepada SOSMA 2012 yang diteliti pada masa ini sedang mengambil kira hasil daripada dapatan kesemua sesi libat urus di atas bagi memastikan penambaikkan yang dicadangkan adalah sesuai dengan keadaan semasa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI