fbpx

Tak boleh main video game ada unsur syirik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Hukum bermain ‘video game’ adalah diharuskan, namun sekiranya terdapat dalam permainan tersebut perkara yang mensyirikkan Allah, maka ia tidak dibolehkan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hal ini kerana terdapat larangan keras daripada nas al-Quran dan hadis tentang larangan mensyirikkan Allah.

Menurutnya, sehubungan itu, menghindari perkara yang mensyirikkan Allah adalah lebih utama.

“Unsur syirik yang terdapat dalam permainan tidaklah menjadikan pemainnya itu jatuh kafir. Namun sebagai muslim tidak dibenarkan untuk bermain dengan jenis permainan yang berunsur syirik.

“Seharusnya bagi individu muslim hendaklah menolak segala bentuk kesyirikan semampu yang boleh walau dengan hati sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Sai’d al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda.

“(Maksud) barang siapa daripada kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Sekiranya tidak mampu lagi, maka dengan hatinya kerana ia merupakan selemah-lemah iman. [Riwayat Muslim (49)],” katanya menerusi laman web Maktabah Al-Bakri.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menasihatkan supaya berhati-hati apabila melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan iman agar tidak terjatuh ke lembah kesyirikan.

“Ingatlah bahawa perbuatan syirik merupakan dosa yang tidak diampunkan oleh Allah. Akhirnya, semoga Allah memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini, dan menjauhkan kita daripada perkara yang boleh menyerongkan akidah dan pegangan kita,” jelasnya.

Penjelasan tersebut berhubung soalan diterima daripada orang awam berkaitan permainan video.

Menerusi soalan itu, individu tersebut bertanyakan hukum bermain permainan video yang mana watak utama yang dimainkan perlu menyembah satu patung. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI