fbpx

Renjer tumpas 349 penceroboh, pemburu babit rampasan RM112 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi.

PETALING JAYA – Sebanyak 240 kes direkodkan di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) yang melibatkan tangkapan seramai 349 orang pesalah dengan jumlah sitaan lebih daripada RM112 juta sejak 2019 sehingga kini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kejayaan itu hasil usaha dan pengorbanan renjer, pejuang belantara yang bertanggungjawab memastikan sumber semula jadi dan biodiversiti negara dilindungi.

Katanya, peranan penting renjer termasuk Renjer Komuniti jelas terbukti melalui kejayaan BP3 yang dilaksanakan sejak tahun 2020.

“Kepakaran Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Veteran Polis Diraja Malaysia, masyarakat Orang Asli serta komuniti setempat telah meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar.

“Selain itu, sebanyak 1,875 jerat yang dijumpai di dalam kawasan operasi telah berjaya dimusnahkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Renjer Sedunia 2023 yang disambut setiap 31 Julai setiap tahun bagi memperingati renjer yang telah terkorban atau tercedera semasa menjalankan tugas.

Tambah Nik Nazmi, melihat kepada kejayaan BP3, inisiatif Renjer Komuniti ditingkatkan kepada 1,500 orang pada tahun 2023 dengan pelantikan seramai 1,000 orang di Semenanjung dan diperluaskan ke Sabah serta Sarawak melalui pelantikan 500 orang yang lain.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Renjer Menraq di Taman Negeri Royal Belum atas kejayaan menerima anugerah antarabangsa International Union for Conservation of Nature (IUCN) World Commission on Protected Areas (WCPA) 2023 International Ranger Awards 2023 pada 26 Julai 2023.

“Kejayaan ini diharap dapat mencetus inspirasi kepada semua renjer di negara ini untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” ucapnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI