SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan menerima sebanyak 83 laporan termasuk satu kes merosakkan poster di daerah Jempol yang kini dalam siasatan sejak bermulanya kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, lain-lain kes adalah berkaitan pantuan ceramah atau aktiviti kempen tanpa mendapat permit dari polis.
Bagaimanapun menurutnya, sepanjang tempoh kempen dijalankan, pihaknya tidak mengesan mana-mana individu atau calon memainkan isu 3R (bangsa, agama dan raja) semasa ceramah dijalankan.
“Kita ingatkan semua pihak yang berkempen untuk tidak memainkan isu 3R. Sekiranya tiada pihak tampil membuat laporan berkaitan isu 3R yang dimainkan, kita sendiri yang akan membuat laporan kerana kita memantau setiap perjalanan kempen sepanjang tempoh yang ditetapkan.
“Semua ceramah dipantau serta berjalan dengan baik. Tiada isu kacau ganggu dan pantauan yang dilakukan ini termasuklah dari segi media sosial (penggunaan medium kempen) selain pantauan secara fizikal,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui sempena Majlis Penyampaian Sijil Perlantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) Malaysia Crime Prevention Foundation (MCPF) Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE