fbpx

PRN: Pas tawar 18 program kepada rakyat Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad bercakap pada program Ceramah dan Pelancaran Program PN Kelantan: Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Dataran Majlis Daerah Tanah Merah, hari ini. - Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

TANAH MERAH – Pas mengemukakan sebanyak 18 tawaran program kepada rakyat di negeri ini di bawah slogan ‘Kelantan Maju Rakyat Sejahtera’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, tawaran berkenaan dinamakan sebagai program berbanding manifesto kerana ia membawa maksud perancangan yang benar-benar mahu dilaksanakan dan bukannya sekadar satu retorik.

Menurutnya, kesemua 18 program utama dengan 96 pengisian itu akan dilaksanakan sepanjang lima tahun akan datang sekiranya Pas sekali lagi mendapat mandat rakyat pada 12 Ogos nanti sekali gus mempertahankan pentadbiran kerajaan negeri.

“Kita telah berjaya menyempurnakan sebanyak 98 peratus manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu. Hanya dua peratus tidak dapat diselesaikan sepenuhnya.

“Kita sambung kali ini demi kebaikan dan kebajikan rakyat Kelantan,” katanya pada sidang akhbar selepas Ceramah dan Pelancaran Program Perikatan Nasional (PN) Kelantan: Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Dataran Majlis Daerah Tanah Merah, di sini sebentar tadi.

Ahmad (dua dari kiri) menunjukkan risalah 18 tawaran Pas kepada rakyat Kelantan semasa Ceramah dan Pelancaran Program PN Kelantan: Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Dataran Majlis Daerah Tanah Merah, hari ini. – Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan itu memberitahu, Pas Kelantan merangka program-program yang ditawarkan mengikut keupayaan berpandukan asas-asas di peringkat kerajaan negeri.

“Kita mempunyai kerajaan negeri dan persekutuan. Mengikut bajet yang mampu disediakan di peringkat kerajaan negeri, maka ini tawaran yang dapat kita berikan kepada rakyat Kelantan.

“Semoga tawaran ini benar-benar dapat dilaksanakan dalam masa lima tahun akan datang,” ujarnya.

Enam daripada 18 tawaran berkenaan adalah pembangunan sosioekonomi, pembangunan bekalan air bersih, pembangunan insaniah, pembangunan pendidikan dan kemahiran, pembangunan wanita serta pembangunan keluarga dan masyarakat.

Turut ditawarkan adalah program itu adalah anak muda bermaruah, kecaknaan insan istimewa, perluasan prasarana digital, memajukan produktiviti pertanian dan melestari alam sekitar.

Selain itu, program tersebut turut menawarkan ihtirafi tadbir urus, kesejahteraan rakyat, seni budaya dan warisan Kelantan, kesukanan dan rekreasi, mengukuhkan hubungan antara kaum, cakna perantau serta kebersamaan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai paksi utama program. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI