fbpx

PM ingatkan LHDN jangan bebankan rakyat, kutip cukai apa yang patut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika menghadiri Perasmian Persidangan Percukaian 2023 pagi tadi.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya telus dan adil apabila mengutip cukai daripada rakyat dan komuniti perniagaan.

Tegas beliau, LHDN dan ahli-ahli percukaian digesa hanya mengutip cukai apa yang patut dan jangan sesekali membebankan rakyat.

“Walaupun negara perlu meningkatkan kutipan cukai, saya berharap LHDN menyahut cabaran peredaran zaman dan tekonologi, seperti teori ‘creative destruction’ Joseph Schumpeter.

“Produktiviti dan pembangunan akan meningkat apabila teknologi dan cara-cara yang lapuk diganti dengan inovasi baru.

“Dalam erti kata lain, LHDN perlu menjadi lebih inovatif untuk merombak semula sistem percukaian supaya menjadi lebih efisien dan berkesan di zaman sekarang,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan seterusnya berkata, beliau menekankan agar semua pihak dapat memperbaiki tata kelola dan menerap sikap amanah dalam pengurusan wang.

Ujar beliau, tidak ada guna jika hasil cukai negara meningkat sebanyak mana pun, tetapi masih ada berbilion ringgit wang rakyat disedut lesap oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Tegas beliau, negara akan kekal kucar-kacir dan rakyat tidak akan terbela jika integriti institusi-institusi masih rapuh.

Sementara itu, katanya, Ekonomi Madani yang beliau luncurkan minggu lalu perancangan Kerajaan Perpaduan untuk menstruktur semula ekonomi ke aras Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia.

“Nilai-nilai murni seperti adil, saksama, amanah dan bertanggungjawab inilah yang akan merealisasikan kerangka Ekonomi Madani.

“Kerajaan boleh menetapkan objektif-objektif ekonomi yang meninggi langit, namun mereka tidak akan tercapai jika semua rakyat Malaysia tidak berganding bahu dan mengamal sifat-sifat terpuji,” katanya.

Anwar turut mengingatkan Malaysia pernah menjadi juara Asia, namun kerakusan dan ketirisan sesetengah pihak menyalah-gunakan kuasa untuk mengayakan diri sendiri dan kroni telah membuat Malaysia menjadi mundur dan hilang kompas moral.

“Marilah kita semua rakyat menggembleng tenaga untuk memperbaiki struktur ekonomi negara tercinta agar ia menjadi sebuah tempat yang lebih baik untuk kita dan anak-anak kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI