CHENGDU, China – Sejarah tercipta pada Universiade Chengdu apabila Malaysia berjaya merangkul pingat emas pertama pada temasya sukan uiversiti dunia yang dianggap Sukan Olimpik Universiti itu.
Menariknya, pencapaian cemerlang sukan wusyu dengan meraih satu pingat emas dan tiga pingat gangsa menyaksikan sasaran tiga pingat yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi berjaya dilepasi kelmarin.
Paling tidak disangka-sangka adalah kesemuan pingat tersebut diperoleh menerusi sukan wusyu setakat ini, malah wusyu kali pertama dipertandingkan pada Universiade Taipei pada tahun 2017 dengan Malaysia meraih satu pingat perak dan dua gangsa.
Malangnya pada Universiade Napoli, Itali 2019 acara wushu tidak disenaraikan. Namun, itu tidak menghalang kejutan paling besar di Chengdu apabila pelajar Universiti Asia Pasifik, Tammy Tan Hui Ling merangkul pingat emas menerusi acara qiangshu wanita, sekali gus menamatkan kemarau 38 tahun Malaysia sejak kali pertama menyertai temasya di Universiade Kobe pada tahun 1985.
“Saya tidak memperoleh apa-apa pingat dalam acara sebelum ini (jianshu) dan perasaan saya sedikit terganggu, tetapi ahli psikologi kami memberikan panduan dan galakan yang sungguh kuat kepada saya dan ini benar-benar menolong saya, saya sangat gembira dan kongsikan pingat ini untuk negara,” kata Tammy.
Paling membanggakan kesemua atlet wusyu negara menyumbang pingat pada temasya kali ini iaitu tiga lagi pingat gangsa menerusi Mandy Cebelle Chen (tajiquan wanita), Calvin Lee Wai Leong (nangun lelaki) dan Ang Qi Yue (Daoshu lelaki).
Kejayaan skuad wusyu di Universiade Chengdu ini sudah pasti membawa era baharu kepada pengukuran prestasi atlet institusi pendidikan tinggi negara pada temasya akan datang.
Penyertaan kontinjen Malaysia dalam acara wusyu berakhir semalam kerana tidak mengambil bahagian dalam acara Sanda dan Taolu.