KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, kad kredit peribadi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digunakan bagi mendahulukan pembelian peralatan untuk aktiviti kebajikan termasuk sumbangan kepada masjid.
Datuk Rosiah Osman, 71, yang ketika itu Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid berkata, peralatan itu termasuk kipas, pendingin hawa dan permaidani yang merupakan sebahagian daripada aktiviti kebajikan Yayasan Akalbudi.
Menurutnya, beliau akan meneliti penyata kad kredit dan resit pembelian atas nama Ahmad Zahid yang diterimanya setiap bulan dan mengenal pasti sama ada pembelian itu atas tujuan peribadi atau untuk sumbangan.
Ujar saksi pembelaan ketujuh, wang Yayasan Akalbudi kemudian dikeluarkan bagi membayar balik pembelian berkenaan ke dalam kad kredit Presiden UMNO itu.
Ketika ditanya oleh peguam Hamidi Mohd. Noh pada sesi pemeriksaan utama, Rosiah berkata, beliau selanjutnya akan menyediakan cek untuk ditandatangani oleh Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Saksi turut menyatakan, Yayasan Akalbudi tidak mempunyai kad kredit untuk kegunaan pembayaran.
Pada prosiding sebelah pagi, mahkamah turut mendengar keterangan saksi pembelaan keenam, Datuk Mohd. Kamal Abdullah yang juga Pegawai Khas Ahmad Zahid.
Mohd. Kamal, 66, berkata, bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly (yang menggantikan Rosiah bermula 2011) lalai mengeluarkan cek, tidak memperdulikan arahan pegawai atasan atau enggan mendengar nasihat apabila kesalahannya diperbetulkan.
Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar pada sesi pemeriksaan balas, Mohd. Kamal menjelaskan, Mazlina pernah menulis amaun yang salah pada cek termasuk cek Yayasan Akalbudi.
Menurut Mohd. Kamal, Ahmad Zahid pernah memberitahunya bahawa Mazlina telah menggunakan cek-cek Yayasan Akalbudi untuk membayar bil kad kredit peribadi beliau dan isterinya menggunakan cop tandatangan Timbalan Perdana Menteri.
“Mazlina sepatutnya menggunakan cek peribadi Ahmad Zahid untuk membayar bil-bil kad kredit dan bukan menggunakan cek Yayasan Akalbudi,” ujar beliau dalam pernyataan saksi.
Menurut Mohd. Kamal, Ahmad Zahid tidak pernah sama sekali memberi arahan atau membenarkan Mazlina menggunakan cop tandatangan milik beliau untuk menandatangani cek Yayasan
Akalbudi atau cek peribadi.
Ujar saksi, sebaliknya cop tandatangan tersebut hanya boleh digunakan untuk kad-kad perayaan dan sijil-sijil penghargaan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung esok. – KOSMO! ONLINE