fbpx

Kerja kimpalan punca Mundok ‘bergegar’, tauke bercuti di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara kemusnahan yang berlaku susulan kejadian letupan kilang mercun di pekan Mundok, Thailand pada Sabtu lalu.

RANTAU PANJANG – Penduduk yang mendiami pekan Mundok, Thailand dekat sini mendakwa percikan api daripada kerja-kerja kimpalan dikatakan menjadi punca berlakunya letupan sebuah kilang mercun di kawasan tersebut pada Sabtu lalu.

Seorang penduduk dikenali sebagai, Marina, 50, berkata, semasa kejadian, beberapa orang pekerja kontraktor dipercayai sedang melakukan kerja-kerja kimpalan untuk membuat rak besi di kawasan tersebut.

Dakwanya, rak tersebut dipercayai untuk diletakkan di dalam kilang berkenaan bagi tujuan menyimpan stok mercun.

“Ada penduduk di sini nampak percikan api daripada kerja-kerja kimpalan itu terkena bungkusan mercun di dalam kilang tersebut sebelum tercetusnya kebakaran.

“Keadaan itu menyebabkan kilang tersebut meletup sehingga mengakibatkan 10 penduduk meninggal dunia. Keadaan di sini umpama padang jarak, padang tekukur apabila rumah-rumah penduduk habis ranap,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Marina memberitahu, ketika kejadian pemilik kilang mercun itu tiada di Mundok kerana dia sedang bercuti di Pulau Pinang.

Menurutnya, susulan kejadian itu, ramai rakyat Malaysia yang datang ke pekan berkenaan untuk melihat sendiri kemusnahan yang berlaku.

“Difahamkan, ada juga keluarga dari Malaysia datang untuk menziarah mangsa yang cedera selepas kejadian itu tular di media sosial,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber pihak berkuasa Thailand, selain 10 orang maut, lebih 100 mangsa mengalami kecederaan dalam kejadian itu dan mereka kini masih menerima rawatan di Hospital Narathiwat dan Golok.

Kejadian itu turut memberi kesan kepada penduduk yang tinggal berhampiran kawasan berkenaan apabila sebanyak 21 buah rumah dan sebuah surau di Kampung Bukit Lata di Pasir Mas mengalami kerosakan akibat gegaran kuat susulan letupan kilang mercun berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI