fbpx

Kerajaan tidak bercadang tarik balik subsidi yuran pengajian universiti awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled (tiga dari kiri) beramah mesra dengan sebahagian pelajar UUM yang ditanggung yuran pengajian menerusi program Sulung di UUM, Sintok hari ini.- Foto oleh SHAHIR NOORDIN

SINTOK – Kerajaan tidak bercadang untuk menarik balik subsidi yuran pengajian yang diberikan kepada penuntut tempatan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam memastikan peluang menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi terus terbuka luas.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan sangat komited dalam memastikan setiap rakyat mempunyai akses kepada pendidikan dan tiada yang tercicir.

Katanya, banyak pendekatan yang dilakukan bagi tujuan itu termasuk menanggung subsidi yuran pengajian dengan kerajaan tidak mempunyai cadangan untuk menarik subsidi tersebut.

“Misalnya kalau kita lihat program-program pengajian seperti bidang ekonomi, kos sebenarnya mungkin untuk empat tahun antara RM70,000 hingga RM80,000 tetapi di IPTA hanya antara RM2,000 hingga RM3,000.

“Kalau di UiTM (Universiti Teknologi Mara) semua program untuk satu semester hanya RM200, dua semester atau setahun RM400 tetapi kos sebenar beribu-ribu ringgit. Kerajaan akan teruskan pemberian subsidi ini kepada pelajar tempatan yang menuntut di IPTA,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika membuat lawatan kerja ke Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini hari ini.

Selain itu, kata Mohamed Khaled, kerajaan juga menyediakan pinjaman kepada penuntut yang mahu menyambung pengajian dengan jumlah pinjaman RM3.5 bilion setiap tahun.

“Pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) bukan sahaja membiayai yuran tetapi termasuk juga sara hidup,” ujarnya.

Beliau berkata, inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi menjalankan program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) dapat membantu ramai pelajar cemerlang daripada keluarga B40 dan kurang berkemampuan menyambung pengajian di universiti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI