fbpx

JPN Melaka terima lebih 20 kes ubah nama bayi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORAZLEE (dua dari kanan) pada majlis prasmian Program Kibar Jalur Gemilang Peringkat JPN Melaka 2023 di Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka menerima lebih 20 kes membabitkan pertukaran nama bayi berusia bawah satu tahun sejak Januari lalu.

Pengarahnya, Norazlee Sulaiman berkata, permohonan itu dibuat di bawah pembetulan maklumat dalam Sijil Kelahiran melalui Seksyen 15(1) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) Pindaan (2016).

“Kita memang ada menerima permohonan untuk pertukaran nama dan bagi kanak-kanak di bawah usia setahun setakat ini sebanyak 23 kes direkodkan, berbanding 24 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Untuk kes tukar nama ini, ada permohonan diluluskan dan ditolak berdasarkan peruntukan undang-undang, ada situasi di mana nama telah diberi dan dipakai tetapi dia merasakan ia memberi masalah kepada kesihatan serta nasib tidak baik,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Kibar Jalur Gemilang Peringkat JPN Melaka 2023 di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau menjelaskan terdapat tiga kategori penamaan nama iaitu bagi dibenarkan, ditegah dan tidak sesuai.

Jelasnya, antara nama-nama ditegah adalah nama yang terlalu panjang melebihi 80 aksara, melibatkan gelaran dikurniakan oleh kerajaan, pangkat atau jawatan serta gelaran keturunan yang tiada kaitan susur galur.

“Selain itu juga seperti nama-nama kepahlawanan, membawa maksud lucah dan buruk, nama yang membawa maksud tidak baik dalam bahasa lain serta nama perhiasan atau pakaian atau peralatan.

“Walaupun dalam satu konteks hak tu adalah milik semua orang, namun JPN mempunyai garis panduan dan ia bukan untuk umat Islam sahaja tetapi semua kaum, bahkan dalam soal nasab kita kawal juga,“ katanya.

Ujarnya lagi, bagaimanapun kes-kes pertukaran nama di negeri ini masih berada di tahap rendah susulan tiada konflik melibatkan nama-nama kerabat diraja kerana Melaka merupakan sebuah negeri tidak bersultan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI