PEMILIHAN fabrik yang sesuai dengan cuaca adalah elemen yang paling penting dalam rekaan pakaian.
Hal ini kerana pakaian dengan fabrik yang tidak sesuai akan membuatkan pemakai berasa tidak selesa serta rimas, selain membataskan pergerakan.
Memahami keperluan menggayakan pakaian yang sesuai dengan cuaca Malaysia yang panas, pesohor media sosial yang juga merupakan pelakon baharu, Nurin Afiqah, 27, baru-baru ini melancarkan koleksi pakaian kasual dengan fabrik ringan dan selesa.
Dia yang merupakan pengasas label NADA Identity memperkenalkan busana kasual rekaannya sendiri yang terdiri daripada set blaus dan skirt denim, dres labuh, kemeja kain kapas dan tudung bawal bercorak.
Ia merupakan koleksi menarik dan mempunyai keistimewaan tersendiri.
Kongsi Nurin, NADA Identity sebelum ini pernah melancarkan set pakaian sukan mesra Muslimah dan bagi koleksi baharu ini, Nurin berhasrat untuk mempelbagaikan lagi koleksinya menerusi seleksi busana kasual.
“Sebelum ini, saya memulakan label NADA Identity dengan memperkenalkan set pakaian sukan untuk wanita Muslimah.
“Ini kerana, sebelum ini saya merupakan seorang jurulatih zumba dan pakaian sukan itu begitu dekat di hati saya. Begitu pun, sebagai kelainan, kali ini saya mahu lari sedikit daripada elemen sukan dan memilih untuk melancarkan koleksi pakaian kasual yang boleh digayakan semua yang dikenali sebagai koleksi ‘Summer to Remember’.
“Malah, pemilihan fabrik bagi koleksi kali ini juga adalah daripada jenis ringan dan sejuk, menjadikan ia amat sesuai untuk dipakai dalam cuaca Malaysia yang panas,” ujarnya.
Fabrik ringan seperti sifon menjadi pilihan Nurin buat dres labuh rekaannya, manakala set blaus dan skirt denim daripada jenama itu turut menggunakan fabrik denim yang lembut dan ringan.
Bagi rekaan kemeja berbunga kecil yang diperkenalkannya, ia diperbuat menggunakan fabrik kapas yang selesa dan sesuai digayakan sepanjang hari.
Malah, kebanyakan rekaan daripada koleksi itu juga adalah jenis ironless atau tidak perlu digosok, menjadikan ia pilihan sesuai buat wanita yang mahu bersiap cepat.
Jelas Nurin yang merupakan anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu lagi, inspirasi rekaannya kali ini adalah diambil daripada suasana Itali ketika musim panas.
“Saya bakal bercuti ke Itali tidak lama lagi dan saya mengambil inspirasi daripada suasana percutian musim panas di Itali.
“Jika dilihat, Itali pada musim panas dipenuhi dengan bunga-bunga kecil yang cukup cantik dan ia seterusnya diterjemah pada rekaan kali ini,” katanya.
Bagi rekaan tudung bawal pula, Nurin memperkenalkan rekaan monokrom ringkas yang sesuai untuk dipakai dengan pakaian sedia ada dalam enam rona menarik.
Koleksi ‘Summer to Remember’ ini boleh didapati di laman webnya dan laman e-dagang pada harga antara RM49 sehingga RM229.