fbpx

Arwah Dr. Soberi Awang bertukar pendiam sebelum ‘pergi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli keluarga mengaminkan bacaan doa ketika upacara pengebumian Allahyarham Dr. Soberi di Kampung Jabut Kubur, Kemaman kelmarin.

KEMAMAN – Pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Soberi Awang yang meninggal dunia akibat serangan jantung sewaktu menyampaikan kuliah subuh kelmarin bertukar menjadi pendiam sejak akhir-akhir ini.

Anak saudaranya, Sya’rani Asa’arri, 34, berkata, Soberi, 59, yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia juga dilihat jarang memberi respons terhadap kiriman pesanan WhatsApp di kumpulan keluarga sepanjang tempoh itu.

“Saya dan ahli keluarga lain pelik Ayah Ngah (Soberi) tidak aktif dalam WhatsApp kumpulan keluarga sedangkan sebelum ini tidak demikian.

“Ayah Ngah juga pernah me­ngadu sakit dada dan muntah-muntah pada Isnin minggu lalu. Beliau mengajak saya mene­ma­ninya tidur di rumah kerana isterinya pulang ke kampung tetapi tidak dapat dipenuhi oleh saya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Terdahulu jenazah Soberi selamat dikebumikan di Tanah Per­kuburan Islam Kampung Jabur Kubur di sini pada pukul 11.30 malam kelmarin.

Sya’rani berkata, dia amat terkilan tidak dapat memenuhi permintaan bapa saudaranya itu.

Dia memberitahu, Soberi telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik dan hanya dimaklumkan muntah dan sakit dada dihada­pinya cumalah akibat penyakit gastrik.

“Ayah Ngah kembali sihat setelah makan ubat tetapi kembali tidak sihat pagi semalam (kelmarin) sebelum meninggal dunia,” katanya.

Soberi yang juga merupakan Ahli Majlis Fatwa Negeri Terengganu meninggalkan seorang balu iaitu Nur Hayati Mohd. Zari@Jaafar, 57, dan seorang anak pe­rempuan, Nadharatul Hanat yang telah mendirikan rumah tangga.

Soberi meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital selepas rebah sewaktu menyampaikan kuliah subuh di Surau Al Ittihaduyyah, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis­ Daerah Shah Alam, Asisten Ko­misioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, bedah siasat mendapati kematian Dr. Soberi disebabkan oleh serangan jantung.

“Sehubungan itu kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI