fbpx

AGC tunggu siasatan SPRM sebelum putuskan representasi Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah) ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. -Foto M.FIRDAUS M.JOHARI

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, representasi Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi masih belum diputuskan kerana Jabatan Peguam Negara (AGC) masih menunggu hasil siasatan lanjut berhubung fakta dan bukti baharu yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan AGC, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar memaklumkan, siasatan masih dijalankan oleh pasukan petugas khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihaknya menunggu maklum balas sebelum memutuskan representasi berkenaan.

Pada 10 April lalu, mahkamah diberitahu, Timbalan Perdana Menteri telah mengemukakan representasi kepada AGC mengandungi fakta dan bukti baharu dalam usaha menggugurkan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang kini di peringkat pembelaan.

“Tiada keputusan representasi pada peringkat ini kerana pihak kami masih menunggu hasil siasatan pasukan petugas khas,” ujarnya ketika memaklumkan perkembangan representasi berkenaan.

Sehubungan itu, perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung dengan mendengar keterangan saksi pembelaan keenam, Datuk Mohd. Kamal Abdullah, 65, yang juga Pegawai khas Ahmad Zahid.

Timbalan Perdana Menteri mengemukakan representasi melebihi 200 muka surat mengandungi isu kompleks yang dihantar terus kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun sebagai asas untuk pertimbangan agar pertuduhan yang dihadapinya, digugurkan.

Dokumen mengandungi beberapa peringkat itu pertama kali dihantar kepada AGC pada Januari lalu dan selanjutnya pada akhir Februari lalu.

Representasi itu turut disertai surat bertarikh 20 Februari lalu daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang memaklumkan agensi itu melakukan siasatan lanjut terhadap fakta dan bukti baharu yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Ahmad Zahid, 70, dibicarakan atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI