fbpx

Warga Taiwan baru bebas penjara, dicekup lagi jadi ‘runner’ dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shuhaily menunjukkan dadah dan sepucuk pistol yang dirampas dalam satu operasi khas baru-baru ini, pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Tidak serik dibebaskan daripada penjara pada Februari lalu, seorang warga Taiwan dicekup lagi sekali di sebuah pangsapuri di Cheras, di sini, pada Khamis lalu kerana disyaki menjadi ‘runner’ dadah.

Dengan menjadikan sebuah rumah kedai di Kajang, Selangor, sebagai stor penyimpanan dadah, lelaki berusia 31 tahun itu menjadi orang suruhan kepada seorang lelaki warga tempatan untuk diedarkan kepada pasaran tempatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, operasi tersebut dilakukan di Cheras, Kajang, dan di sini, bermula pukul 9 pagi hingga 6.45 petang.

Menurutnya, pemeriksaan tubuh suspek menjumpai 10 biji pil dadah dipercayai erimin 5 dan ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek yang masuk menggunakan pas lawatan sosial pada 2016 baru sahaja dibebaskan selepas ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 pada 2018.

“Suspek seterusnya ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 di Penjara Sungai Buloh sejak tahun 2020, sebelum dibebaskan sekitar Februari lalu.

“Selepas dibebaskan, suspek menetap di Malaysia secara haram. Buat masa ini kita masih belum kenal pasti pembekalnya siapa. Tetapi dalang warga tempatan itu kita sudah kenal pasti,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah Mohd. Shuhaily, daripada tangkapan tersebut, polis menjumpai pelbagai jenis dadah bersama satu pucuk senjata api jenama Glock dan 30 butir peluru hidup di rumah kedai di Kajang, Selangor.

“Polis merampas 20,000 biji pil erimin 5, methamphetamine (3.2 kilogram (kg); ecstacy (3.2kg); methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) (0.6) dan pati heroin (0.7kg) dengan nilai keseluruhan dadah dirampas RM572,000.

“Sepucuk pistol, kelopak peluru, satu bekas warna hitam berisi 30 butir peluru juga dirampas. Keputusan ujian balistik masih sedang ditunggu bagi menentukan asal usul senjata api terbabit,” ujarnya.

Jelasnya, suspek direman selama tujuh hari sejak Jumaat lalu hingga 3 Ogos di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI